Persiapan SUKMA 2026 di Selangor capai 85 peratus
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 1 min read

Persiapan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor kini telah mencapai tahap 85 peratus, kata Exco Sukan, Mohd Najwan Halimi (gambar).
Dari segi prasarana jelasnya, beberapa venue utama pertandingan sedang menjalani kerja naik taraf, manakala kira-kira 70 peratus peralatan utama yang akan digunakan semasa temasya telah disediakan dan selebihnya dalam proses perolehan.
"Pendaftaran rasmi kontinjen akan dibuka dari 2 Januari hingga 13 Februari depan.
"Game Management System (GMS) akan digunakan sepenuhnya sebagai sistem rasmi SUKMA 2026 bagi urusan pendaftaran atlet dan pegawai, pengesahan kontinjen serta penyelarasan acara pertandingan," katanya dipetik pada satu sidang media di Shah Alam, semalam.
SUKMA 2026 akan berlangsung dari 15 Ogos hingga 24 Ogos 2026, manakala Para SUKMA pula dari 5 hingga 14 September 2026.
Dijangkakan sebanyak 474 acara termasuk 327 acara sukan melibatkan pelbagai disiplin bakal dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu.
Sementara itu tambah Mohd Najwan, portal rasmi SUKMA 2026 akan dilancarkan bulan depan sebagai pusat rujukan utama berkaitan kejohanan dan pengurusan teknikal.
Bagi memastikan penyertaan menyeluruh, pihaknya akan mengadakan jelajah rasmi ke negeri-negeri termasuk Sabah dan Sarawak bermula minggu hadapan, selain akan memuat jemputan rasmi kepada Brunei.





