Persiapan SUKMA 2026 berjalan lancar, siap menjelang Mac depan
- Suara Keadilan
- 6 days ago
- 1 min read

Persiapan gelanggang acara Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 telah melebihi 50 peratus dan berjalan mengikut jadual.
Exco Sukan Negeri Selangor Mohd Najwan Halimi (gambar) memaklumkan, kerja naik taraf infrastruktur sukan termasuk stadium, dewan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pusat Akuatik Darul Ehsan di Seksyen 13 berjalan lancar dan dijangka selesai Mac tahun depan.
"Ada sesetengah tempat kejohanan seperti pusat akuatik ditutup untuk dinaik taraf. Malah, penyewa di situ juga dikecualikan bayaran dan diberikan tempat baharu untuk seketika.
"Selain itu, PBT juga telah menggerakkan proses selenggara. Menjelang Mac tahun depan, insya-Allah Selangor bersedia untuk SUKMA 2026," katanya dipetik.
Temasya kali ini dijangka menghimpunkan kira-kira 10,000 atlet dan pegawai sukan dari 15 kontinjen negeri termasuk Brunei Darussalam dengan upacara pembukaan temasya dwitahunan itu dijadualkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Julai lalu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan temasya itu akan diadakan pada 15 hingga 24 Ogos 2026, manakala Para SUKMA dari 5 hingga 14 September.
Sementara itu, Mohd Najwan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA 2026 turut memaklumkan, Kerajaan Selangor bersetuju tiga sukan tambahan iaitu petanque, Muay Thai dan silambam untuk dipertandingkan pada temasya tersebut.
Justeru sadangan itu akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Tertinggi SUKMA dan perlu dimuktamadkan selewat-lewatnya pada atau sebelum 15 Ogos ini.
Comments