Persepsi 'underdog' tidak lunturkan keyakinan PH, prestasi negeri jadi sandaran
- Noraini Nordin

- Jul 31
- 2 min read

Sorotan Khas PRN NS: Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar (gambar), memahami mengapa wujud persepsi bahawa Pakatan Harapan (PH) berada dalam kedudukan 'underdog' dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan meskipun gabungan itu merupakan kerajaan yang memerintah negeri.
Menurut beliau, kedudukan sebagai kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri tidak seharusnya menjadi alasan untuk PH mengambil mudah persaingan atau menggunakan kelebihan pentadbiran dalam berkempen.
Sebaliknya, PH memilih untuk memberikan tumpuan kepada kekuatan calon, calon anak tempatan serta rekod prestasi pentadbiran sebagai asas mendapatkan semula mandat rakyat.
"Kita kerajaan di peringkat pusat, tetapi kita tidak menyalahgunakan premis kerajaan. Kempen kita banyak memberi fokus kepada calon, kekuatan calon, anak jati dan calon lokal.
"Akhirnya calon-calon KEADILAN di negeri inilah yang akan membawa agenda mengenai apa yang mereka mampu lakukan sekiranya HARAPAN dapat dikekalkan di Negeri Sembilan," katanya.
Beliau berkata, demikian dalam temu bual khas bersama penulis ketika mengulas andaian bahawa PH berada dalam kedudukan underdog walaupun merupakan Kerajaan Negeri yang memerintah.
Nilai kerajaan berdasarkan prestasi
Nurul Izzah berkata perkembangan politik Malaysia kini menuntut sesebuah kerajaan dinilai berdasarkan prestasi dan pencapaian sebenar, termasuk pentadbiran PH di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Menurutnya, Negeri Sembilan telah berjaya meningkatkan kedudukannya dan semakin mendapat perhatian menerusi pencapaian yang direkodkan sepanjang pentadbiran PH.
Beliau turut mengetengahkan rekod kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (Tok Min), termasuk dalam aspek menghormati institusi diraja, menarik kemasukan pelaburan, memberikan tumpuan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta menyantuni masjid dan surau.
Rekod berkenaan, katanya, merupakan antara kekuatan yang boleh dibawa kepada rakyat dalam mendapatkan mandat untuk meneruskan pentadbiran negeri.
'Underdog' peringatan agar tidak selesa
Pada masa sama, Nurul Izzah tidak menafikan bahawa persepsi underdog turut mencerminkan realiti persaingan politik yang perlu dihadapi PH.
Menurutnya, landskap dan dinamik politik sentiasa berubah, manakala keputusan pilihan raya akhirnya berada di tangan rakyat.
Justeru, PH tidak boleh terlalu selesa hanya kerana mempunyai kedudukan sebagai kerajaan yang memerintah.
Keutamaan, katanya, adalah memastikan Negeri Sembilan mempunyai kerajaan yang stabil supaya pentadbiran dapat terus memberi fokus kepada pembangunan ekonomi dan menyelesaikan permasalahan rakyat dari semasa ke semasa.
Nurul Izzah berpandangan rekod prestasi pentadbiran sedia ada perlu menjadi asas kepada rakyat untuk membuat penilaian, bukannya semata-mata persepsi mengenai siapa yang dianggap sebagai pihak pilihan atau underdog dalam pilihan raya.
"Kita mahu memastikan fokus adalah kepada kerajaan negeri yang stabil supaya dapat menyelesaikan ekonomi dan permasalahan rakyat dari hari ke hari," katanya.




Comments