Persenda wanita: Kenyataan pimpinan Pas tidak cerminkan akhlak Islam - Nurul Izzah
- Suara Keadilan

- Aug 7
- 2 min read
Updated: Aug 8

Kenyataan pemimpin Pas di media sosial yang mengaitkan kepimpinan wanita dengan binatang ternakan secara sinis dan menghina merendahkan citra parti yang mendakwa memperjuangkan agama Islam itu.
Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar (gambar) berkata, sikap pemimpin Pas amat mengecewakan apabila kenyataan merendahkan martabat wanita bukan sahaja tidak ditarik balik tetapi tidak ditegur oleh ulama tertinggi yang menjaga perjalanan parti berkenaan.
"Lebih mengecewakan, kenyataan itu bukan sahaja tidak ditarik, bahkan mendapat sokongan seorang pemimpin kanan parti tersebut.
"Beliau mendakwa itu hanyalah satu analogi. Katanya, tidak ada niat untuk menghina. Tetapi kita semua faham, bahawa ia adalah cubaan untuk memperlekeh dan merendahkan martabat wanita.
"Kalau inilah wajah politik Islam yang mereka perjuangkan, maka jelas, ia hanya tinggal slogan - tanpa roh agama, tanpa akhlak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nurul Izzah, Islam tidak pernah menghina wanita, apatah lagi wanita yang memikul tanggungjawab kepimpinan dengan penuh amanah dan pengorbanan.
Beliau mengungkapkan firman Allah dalam Surah Al-Hujurat (Ayat 13) yang maksudnya 'orang yang paling mulia di sisi tuhan adalah yang paling bertakwa'.
Ayat itu, kata Nurul Izzah menjelaskan kemuliaan insan di sisi Allah tidak bergantung kepada jantina atau asal usul seseorang, sebaliknya diukur melalui ketakwaan.
"Wanita bukan kelas kedua. Mereka bukanlah simbol kelemahan.
"Jika Sayyidatina Aisyah RA boleh menjadi guru kepada para sahabat lelaki, jika Ratu Balqis boleh menjadi pemerintah bijaksana yang diabadikan dalam Al-Quran (Surah Al-Naml), maka siapa anda untuk mengheret wanita ke kandang binatang dalam hujah politik murahan?
"Sejarah Islam telah merekodkan lebih 10,000 wanita perawi hadis yang dipercayai, dihormati dan diakui ketokohannya oleh para ulama. Fakta ini didokumentasikan dalam karya agung Al-Muhaddithat oleh Syaikh Akram al-Nadawi, hasil penyelidikan mendalam selama lebih 20 tahun.
"Wanita-wanita ini bukan sahaja menyampaikan ilmu, bahkan menjadi rujukan utama dalam disiplin hadis dan fiqh. Mereka tidak dipinggirkan, tidak dihina, dan tidak disamakan dengan haiwan, malah dimuliakan sebagai pewaris ilmu Nabi SAW," katanya.
Tegas Nurul Izzah, kepimpinan wanita tidak boleh diperlekehkan apatah lagi menyamakan wanita dengan binatang, dan dipertahankan pula oleh seorang pemimpin lain.
Pemimpin Pas, dengan sikap berkenaan bukan mempertahankan agama sebagaimana retorik yang dihamburkan tetapi mengkhianati nilai dan terasnya.
"Saya tidak terhina dengan kata-kata sinis itu. Tapi saya kesal kerana ia keluar daripada seorang pemimpin yang mendakwa memperjuangkan Islam. Islam apa yang membenarkan penghinaan terhadap wanita dijadikan bahan jenaka dan sindiran?
"Lebih parah, sikap begini menghalalkan budaya politik toksik yang memperlekeh, mengeji, dan mencaci atas nama 'teguran'. Ini bukan akhlak Islam, ini penyalahgunaan agama untuk membenarkan kebiadaban.
"Cukuplah politik kita dihiasi dengan penghinaan dan sinisme. Bangunkanlah peradaban dengan ilmu, berhujah dengan berfakta dan kelakuan yang berakhlak," katanya lagi.
Bagi pemimpin Pas, Nurul Izzah mengingatkan agar mereka tidak membiarkan kejahilan memadamkan cahaya agama. Islam, kata beliau tidak gentar dengan wanita yang kuat.
Rakyat Malaysia, ujarnya, boleh berbeza pendapat namun tidak boleh berbeza adab. Perbezaan adab adalah petanda bahaya kepada negara dan tamadun.
Untuk rekod, pemimpin PN terutama dari Bersatu menjarakkan diri daripada kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Pas Kawasan Maran, Muhammad Salman Al Farisi, yang menyamakan wanita dalam kepimpinan dengan “lembu betina” dalam kawanan ternakan.
Ketua Wanita PN, Mas Ermieyati Samsudin sebagaimana dilaporkan Malaysiakini berkata, kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran itu merupakan pandangan peribadinya dan tidak mencerminkan pendirian rasmi parti Pas.









Comments