top of page

Persenda tahlil cemar Islam, Exco Pemuda digesa mohon maaf - Sheikh Omar

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Hantaran seorang Exco Pemuda Umno di media sosial mendakwa beliau menghadiri majlis tahlil "pemakaman" pemimpin DAP dikecam keras kerana disifatkan berpotensi mencemarkan imej Islam serta mengeruhkan keharmonian masyarakat majmuk.


Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Kebangsaan, Sheikh Omar Ali (gambar) berkata beliau mengecam sekeras-kerasnya hantaran berkenaan dengan menggesa supaya ia diturunkan segera selain permohonan maaf secara terbuka dibuat kepada masyarakat.


"Saya mengecam sekeras-kerasnya hantaran di platform Threads oleh akaun wan.zuhir yang memaparkan dakwaan mengenai kononnya "majlis bacaan tahlil atas pemakaman Loke (Anthony Loke) di Chennah.


"Hantaran sedemikian bukan sahaja bersifat tidak bertanggungjawab malah mencemarkan imej Islam sebagai agama yang mengajar adab, ihsan dan penghormatan terhadap maruah manusia," katanya dalam kenyataan di Facebook.


Beliau mengulas tindakan seorang pemilik akaun wan.zuhair dalam hantaran melalui Threads yang berkongsi video kelihatan satu majlis dalam sebuah premis dengan meletakkan kapsyen "tengah tahlil atas pemakaman Loke di Chennah. Salam takziah."


Sheikh Omar yang juga Naib Pengerusi DAP Johor berkata, majlis keagamaan seperti bacaan tahlil tidak seharusnya diperalatkan sebagai bahan ejekan, sindiran atau senjata politik kerana tindakan mempermainkan simbol serta amalan agama demi meraih perhatian atau keuntungan politik merupakan perbuatan yang tidak beretika dan bertentangan dengan nilai-nilai Islam.


Sheikh Omar turut menyifatkan perbuatan sedemikian, jika benar dilakukan sebagai mencemarkan kesucian agama dan merendahkan martabat amalan yang dihormati oleh umat Islam.


"Ia ibarat meletakkan kesucian Islam di bawah tapak kaki," katanya sambil menggesa Zuhir menurunkan hantaran itu selain membuat permohonan maaf.


Beliau menegaskan perbezaan pandangan politik tidak pernah menghalalkan penghinaan terhadap agama atau penyalahgunaan amalan suci bagi menyerang lawan politik.


Pemeriksaan dilakukan hantaran Threads individu berkenaan sempat dirakamkan keratan layarnya oleh netizen.


Bagaimanapun, reaksi Zuhir terhadap kecaman Sheikh Omar itu lebih mengejutkan apabila mendakwa tahlil arwah bukan sebahagian daripada syariat Islam dan tiada nas sahih yang khusus daripada Rasullullah mengenai amalan itu.


Memetik laporan Malaysiakini, Zuhir didakwa berkata demikian selepas menerima kecaman apabila memuat naik video memaparkan seolah-olah mengadakan majlis tahlil arwah bersama sekumpulan individu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page