Persenda rundingan damai: Ahli Parlimen lapor polis karikatur di FB Fadhli Shaari
- Suara Keadilan
- Jul 29
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Satu laporan polis telah dibuat ke atas Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari susulan karikatur yang dimuat naik di Facebook beliau seolah-olah menyindir rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang diusahakan Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Laporan itu dibuat oleh beberapa Ahli Parlimen daripada blok Pakatan Harapan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, mereka mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut yang disifatkan bukan budaya Melayu-Islam, sebaliknya budaya ekstrem yang dibawa pihak pembangkang.
''Sebab itu tadi di Parlimen, saya menyatakan ini adalah golongan 'benak mata langau' iaitu dia hanya melihat kesalahan dan sebarang usaha adalah salah.
''Ini bahaya untuk negara kerana akan menggugat kestabilan diplomatik.. karikatur itu seolah-olah menggambarkan Thailand dan Kemboja seperti binatang.
''Kita lihat pelbagai usaha (rundingan) telah dilakukan, namun tidak berhasil. Tetapi ketika PM Anwar menelefon sendiri, akhirnya telah mengadakan satu pertemuan dan menyatukan sekali gus gencatan senjata dipersetujui kedua-dua belah pihak.
''(Keputusan) itu juga diiktiraf dua kuasa besar iaitu China dan Amerika Syarikat (AS). Seluruh dunia sedang menjulang negara dan pemimpin kita sebagai 'orang tengah' yang mendamaikan dua negara,'' katanya ketika ditemui pemberita di luar bangunan IPD Dang Wangi.

Justeru beliau berharap sinisme di media sosial tidak berulang, apatah lagi kenyataan atau hantaran dikeluarkan oleh seseorang yang bergelar Ahli Parlimen.
''Ini amat memalukan kita sebagai Ahli Parlimen. Sepatutnya pemimpin itu cerdik dan tidak gelojoh dalam membuat sebarang kenyataan,'' tempelak beliau.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan yang turut hadir pula menyifatkan, usaha yang dilakukan PM Anwar untuk mendamaikan kedua-dua negara sedang bergolak itu sepatutnya dihargai.
Beliau menegaskan, celaan dan hinaan terhadap PM Anwar dalam usaha meredakan ketegangan kedua-dua negara itu merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima akal.
''Kita kena bagi satu penghargaan yang terbaik kepada PM Anwar, bukan dengan kutuk, keji," bidas beliau.
Terdahulu, Ahmad Fadhli dilaporkan bertindak memadam hantarannya di media sosial memaparkan karikatur tentang monyet, kambing dan biri-biri selepas Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta serta tanpa syarat petang semalam.
Hantaran dimuat naik Ketua Penerangan Pas Pusat itu memaparkan monyet bertindak sebagai hakim manakala kambing dan biri-biri sedang berebutkan pisang.
Comments