Persenda lagu Negaraku: MCMC rakam keterangan dua individu untuk siasatan
- Suara Keadilan

- Aug 14
- 1 min read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mempersenda atau memperlekeh lagu kebangsaan.
Menerusi satu kenyataan, suruhanjaya itu memaklumkan telah merakam keterangan dua individu bagi membantu siasatan berhubung penyiaran video di media sosial yang didakwa mempersenda serta tidak menghormati lagu Negaraku.
"Sesi rakaman keterangan dijalankan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya pada Selasa. Satu unit telefon bimbit dan sekeping kad SIM turut disita bagi tujuan siasatan.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan," kata MCMC.
Menerusi kenyataan sama MCMC mengingatkan orang ramai kepada Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang mewajibkan setiap warganegara menghormati Negaraku.
Pihaknya menyeru orang ramai mengelak daripada melakukan atau menyebarkan sebarang perbuatan yang boleh dianggap tidak menghormatinya.
Terdahulu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selayang membuat laporan polis di IPD Gombak berhubung tindakan pempengaruh yang mempersendakan nyanyian lagu Negaraku di dalam sebuah majlis di ibu negara.
Jurucakap Biro Disiplin dan Undang-Undangnya, Tong Liang Wang menegaskan, hukuman sekeras-kerasnya perlu dikenakan terhadap individu yang mempersenda lagu Negaraku supaya menjadi peringatan kepada masyarakat.









Comments