top of page

Perlu pinda Akta Pendidikan untuk iktiraf UEC, bahasa ibunda mudahkan pendidikan

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 hour ago
  • 2 min read
Hassan (tengah) memberi pendapat berkenaan pelaksanaan UEC dan Prof Dr Chin Huat (kanan)
Hassan (tengah) memberi pendapat berkenaan pelaksanaan UEC dan Prof Dr Chin Huat (kanan)

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim tampil mengkritik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan Cina kerana terus mempertahankan pelaksanaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) meskipun ianya belum diiktiraf di bawah Akta Pendidikan 1996.


Beliau berkata, pengiktirafan mutlak terhadap UEC tidak boleh dilaksanakan ketika ini kerana sijil tersebut lahir daripada sistem sekolah menengah persendirian Cina yang tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan dan tidak mengikut kurikulum kebangsaan sebagaimana diperuntukkan dalam undang-undang sedia ada.


"Kalau Ahli Parlimen akan datang boleh ubah (untuk) pinda Akta Pendidikan 1996, kepada batalkan iaitu tak ikut kurikulum kebangsaan.... Parlimen boleh ubah (akta ini).


"(Dalam hal ini) saya tak salah ibu bapa mereka (murid sekolah persendirian Cina), tapi saya salahkan penganjur-penganjur pemimpin NGO terutamanya, yang melaksanakan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).


"Sudah tahu anak-anak itu akan menghadapi masalah nanti untuk masuk ke universiti awam tapi diteruskan juga UEC itu yang bercanggah dengan undang-undang, jadi itulah masalahnya," katanya.


Beliau berkata demikian ketika Sesi Dialog yang dianjurkan Penerangan KEADILAN Pasir Gudang.


Bagaimanapun, menurut Hassan lagi, masih terdapat kebaikan daripada para pelajar Cina yang mahu masuk ke universiti yang mana mereka memenuhi aliran sains Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Tingkatan Enam yang mana mereka menghidupkan sistem berkenaan.


Katanya, keadaan itu berlaku kerana kebanyakan pelajar Melayu memilih laluan kolej matrikulasi. Manakala pelajar Cina yang tidak memasuki matrikulasi meneruskan pengajian di Tingkatan Enam sebelum memenuhi pelbagai bidang kritikal di universiti seperti perubatan, sains dan sebagainya.


Dalam sesi sama, Pengarah Perancangan Institusi (Institutional Design) Sunway University, Prof Dr Wong Chin Huat pula berpendapat, pendidikan bahasa ibunda itu bukan sekadar tentang identiti tetapi ia sebenarnya berkaitan kesamarataan.


Beliau agak melunakkan beberapa hujah Hasan, namun menekankan pendidikan bahasa ibunda Cina juga penting kerana bahasa Mandarin sebagai perantara lebih mudah untuk kanak kanak Cina marhaen memahami pelajaran.


"Ini kerana, kalau anda datang daripada keluarga yang kaya atau anda lebih cerdik, anda sebenarnya boleh belajar dalam apa bahasa sekali pun.


"Tapi kalau untuk orang kebanyakan, belajar dalam bahasa ibunda itu (adalah) cara yang paling senang kerana ia membantu kita untuk mengatasi cabaran pembelajaran pada peringkat awal," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page