top of page

Persekutuan-Sabah mulakan rundingan Pemberian Khas 40% hasil negeri

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 1 min read
Rundingan antara Persekutuan dan Sabah berjalan lancar meskipun Kerajaan Negeri baharu belum dibentuk
Rundingan antara Persekutuan dan Sabah berjalan lancar meskipun Kerajaan Negeri baharu belum dibentuk

Oleh: Azuan Ab Rahman


Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah yakin isu Pemberian Khas 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah dapat diselesaikan dengan cermat dan teratur.


Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak memaklumkan bahawa mesyuarat pertama Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas peringkat pegawai telah diadakan pada Isnin, sekali gus menjadi asas penting dalam usaha mencari penyelesaian muktamad.


"Perbincangan ini menandakan permulaan yang berkesan dan konstruktif, dengan kesepakatan bahawa kajian semula Pemberian Khas Sabah adalah berasaskan formula 40 peratus hasil bersih Persekutuan seperti yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.


"Kedua-dua pihak turut menyatakan keyakinan bahawa mesyuarat ini membentuk landasan kukuh ke arah mencapai penyelesaian," menurut kenyataan itu.


Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong, mewakili Kerajaan Negeri Sabah, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, mewakili Kerajaan Persekutuan.


Turut hadir ialah Pengarah Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan Malaysia, Zulkhairil Amar Mohamad; Ketua Bahagian Penyelidikan, Jabatan Peguam Negara, Mohd Saiful Sungkih Abdullah; serta Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri.


Mewakili Kerajaan Negeri Sabah pula ialah Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh; Penasihat Undang-Undang kepada Ketua Menteri, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair; dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah, Datuk Jasmine Teo.


Terdahulu pada Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan Pusat tidak akan berundur dalam usaha menunaikan hak Sabah berkaitan tuntutan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan itu.


Justeru katanya, proses rundingan teknikal antara Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan diteruskan secara teratur.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page