
Oleh: Akmal Manaf
Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi meminta kepimpinan Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Taman Guru memanfaatkan Geran Program Perpaduan yang dilancarkan Kerajaan MADANI pada 20 Januari lalu.
Menurut satu kenyataan, WI Taman Guru merupakan persatuan wanita akar umbi yang telah banyak menyumbang kepada kesejahteraan komuniti sejak penubuhannya pada 2012.
"Dalam menggiatkan aktivisme pergerakan wanita di akar umbi, Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar telah dijemput merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan WI Taman Guru, Kuantan pada 26 Januari lalu.
"Dalam ucapan perasmian, Fakhrul Anuar menegaskan kepentingan menyemarakkan amal-amal soleh dalam masyarakat dan ini perlu dibuat secara amal jamaie atau berkumpulan dalam persatuan.
"Arahan ta'awun atau bekerjasama dalam melakukan kerja-kerja kebajikan dan ketakwaan serta menentang kerja kemaksiatan dan kejahatan seperti dalam al-Quran perlu dihayati dalam konteks gesaan amal jamaie ini," maklum kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Fakhrul turut berkongsi mengenai kaedah mendapatkan dana pengurusan dan aktiviti kebajikan yang terbuka luas di bawah Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-13 itu, Datin Raja Jamilah Raja Jaafar sekali lagi dipilih menerajui WI Taman Guru untuk sesi tahun 2025.
"Mandat baharu yang diberikan itu pastinya menyemarakkan semangat sukarelawan demi menggapai amal soleh yang berterusan," kata kenyataan itu.
댓글