
Isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak wajar disalah guna oleh mana-mana pihak untuk meraih sokongan, kata Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM)
Timbalan Presidennya, S Nadarajan berkata KWSP merupakan dana perlindungan sosial yang menjadi mekanisme simpanan untuk dimanfaatkan selepas bersara.
Perlindungan itu jelasnya sangat penting bagi memastikan pekerja boleh berdikari dari segi ekonomi semasa persaraan sekaligus mengelakkan mereka menerima kesan sosioekonomi yang buruk kelak.
"Apakah yang akan berlaku kepada individu setelah bersara kelak apabila mengeluarkan wang KWSP mereka?
"Beban akan menimpa keluarga dan negara, ia umpama situasi menendang tin ke jalan raya," jelas Nadarajan dalam kenyataan.
Beliau turut menempelak sikap ahli-ahli politik yang bertindak seolah-olah memihak kepada rakyat, namun tidak berbuat apa-apa sehinggakan telah menimbulkan isu ekonomi yang serius dalam kalangan rakyat dan negara.
Sementara itu Nadarajan turut berpandangan banyak keputusan dasar yang boleh diambil kerajaan untuk menangani isu ekonomi B40 dan M40.
Antaranya termasuklah penetapan gaji sara hidup mandatori, memastikan hak perlindungan kesatuan sekerja yang mencukupi dan sebagainya.
Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengikut langkah kerajaan Selangor yang membayar gaji tambahan sebulan kepada pekerja untuk membolehkan golongan itu menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan lebih meriah.
Comentários