top of page

Persatuan perfileman pertahan Fahmi, tuntut Awesome TV mohon maaf

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Jun 1, 2023
2 min read


Kenyataan stesen televisyen Awesome TV yang menggesa Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil tidak mencampuri hal-hal komersial mereka dengan pembekal dikritik beberapa persatuan perfileman.


Melalui satu kenyataan bersama, mereka mempertahankan pendirian Fahmi pada sesi Town Hall Industri Kreatif di RexKL baru-baru ini supaya Awesome TV segera melunaskan apa yang didakwa hutang kepada penggiat seni termasuk kes saman membabitkan beberapa penerbit.


Tindakan Awesome TV meminta Fahmi tidak campur tangan itu dianggap tidak wajar serta memperlekehkan peranan Menteri dalam memperjuangkan nasib penggiat seni.


"Kami menyarankan agar pihak Awesome TV memohon maaf secara terbuka kepada Fahmi atas kekasaran kenyataan mereka.


"Kami juga khuatir perkara ini dieksplotasi oleh pihak tertentu untuk dijadikan agenda dan polemik politik," kata Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Dr Ahmad Ibrahim.


Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha pula dalam kenyataan sama mahu Awesome TV bersikap profesional dan menyelesaikan permasalahan dihadapi.


"Walaupun banyak kali membuat rundingan dengan Awesome TV dilakukan, namun penyelesaiannya gagal dan hambar.


"Mengheret penerbit dan penggiat seni ke mahkamah untuk menyelesaikan isu dalaman penyiar, bukanlah satu solusi yang bijak, baik dan jujur.


"Masalah ini harus diselesaikan secara tuntas oleh Awesome TV tanpa melibatkan pihak lain termasuk menggunakan saluran media," katanya.

Senada dengan mereka, Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khalil Saleh berkata, persatuan itu menyokong penuh campurtangan Menteri bagi membantu menyelesaikan masalah luar biasa Awesome TV yang memberi kesan kepada semua pihak terutamanya penerbit


"Sebagai penyiar yang telah dilesenkan oleh kerajaan, Awesome TV seharusnya mempunyai sikap yang lebih profesional, bertanggungjawab dan menerima baik teguran dari Menteri KKD," katanya.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi dalam kenyataan menyarankan Awesome TV serta vendor terlibat berjumpa secara terus dengan Fahmi untuk meleraikan permasalahan dalaman mereka, khususnya aspek penyiar atau penerbitan program secara beradab.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page