Persatuan Penjaja sokong inisiatif kerajaan turunkan sewa premis niaga
- Suara Keadilan

- 4 days ago
- 1 min read

Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia (GPPPKMM) menyambut baik inisiatif kerajaan menurunkan kadar sewaan premis perniagaan milik semua agensi kerajaan.
Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman (gambar) berkata langkah itu disifatkan sebagai meringankan beban peniaga kecil sekaligus diharap dapat mengelakkan peniaga kecil terus terbeban dengan tunggakan bayaran sewa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Saya dimaklumkan ramai peniaga hari ini terhutang kepada PBT dan tidak mampu membayar sewa. Contohnya MyKiosk yang disediakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), ada sebahagiannya tidak mampu membayar.
"Kita mohon supaya kerajaan memberi pertimbangan agar kadar sewa premis yang ditetapkan PBT juga dapat diturunkan sehingga 50 peratus," katanya dipetik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa mengarahkan kadar sewa premis perniagaan milik semua agensi kerajaan Persekutuan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan UDA Holdings Bhd diturunkan mulai bulan ini.
Langkah membantu peniaga kecil mengurangkan kos operasi itu sebahagian daripada usaha kerajaan dalam membantu peniaga dan penjaja yang turut terkesan akibat krisis bekalan global ketika ini.
Dalam masa sama, Perdana Menteri turut menyeru agar semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk mengambil pendekatan sama mulai bulan ini.




Comments