Oleh: Abdullah Zaid
Manifesto setiap DUN menjadi fenomena baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini untuk pengundi menilai apakah yang mereka akan perolehi selepas mengundi seseorang calon.
Bagi calon Pakatan Harapan (PH) DUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon terdapat lima manifesto yang ditawarkan kepada pengundi di kerusi yang dipertahankannya.
Bercakap kepada Suara Keadilan, Khai Loon menawarkan untuk mewujudkan Persatuan Ekonomi Gig bagi memperjuangkan nasib pekerja industri tersebut agar mendapat kebajikan yang sepatutnya.
"Fokus saya ialah menubuhkan persatuan bagi pekerja gig yang terdiri Foodpanda dan Grab kerana golongan ini paling terdedah kepada sebarang bentuk risiko dan bekerja secara sendiri.
"Oleh itu, idea untuk menubuhkan persatuan melibatkan pekerja gig ekonomi di DUN Machang Bubuk adalah penting kerana rata-rata belia di sini terdiri daripada pekerja e-hailing," katanya.
Tambahnya, isu menambah baik kemudahan sukan dan rekreasi turut menjadi manifesto beliau dalam memperkasakan infrastruktur tersebut supaya ia menjadi tumpuan komuniti setempat.
"Setakat ini saya bercadang untuk membina beberapa kemudahan sukan antaranya membina bumbung di kawasan rekreasi agar tempat tersebut boleh menjadi kawasan tumpuan masyarakat," ujarnya.
Anak jati Bukit Mertajam itu juga ingin meneruskan hasrat menambah baik penempatan semula penjaja supaya masyarakat setempat lebih selesa untuk berjual beli.
Selain itu, pembinaan dua projek tadahan air banjir di DUN Machang Bubuk juga bakal direalisasikan untuk memastikan kawasan berkenaan yang terdedah kepada risiko banjir kilat dapat dielakkan pada masa hadapan.
"Fokus kita untuk penggal yang akan datang ialah menyediakan tempat selesa untuk penjaja berniaga agar mereka dapat menjalan perniagaan dengan lebih selesa.
"Selain itu, kita juga bakal melaksanakan dua lagi projek tadahan banjir.
"Usaha membuat dan menaik taraf kawasan tadahan ini penting untuk kita mengelakkan banjir di sini," jelasnya yang berharap pengundi akan menyokong Perpaduan kerana projek Kerajaan Persekutuan berkenaan akan lebih lancar sekiranya DUN dan pusat adalah parti yang sama.
Comments