Persaingan masih terbuka, pengundi atas pagar, kadar keluar mengundi penentu - IDE
- Suara Keadilan
- 6 minutes ago
- 4 min read

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang berlangsung esok masih terbuka dengan faktor kadar keluar mengundi dan pengundi atas pagar dijangka menjadi antara penentu utama pembentukan Kerajaan Negeri.
Institut Darul Ehsan (IDE) berkata, persaingan kali ini dijangka sengit dengan tiada mana-mana parti mempunyai laluan mudah untuk menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Menurut IDE, perubahan sokongan politik negeri sejak 2013 hingga PRN 2023 menunjukkan keputusan pilihanraya banyak ditentukan secara berasingan di setiap kawasan DUN, justeru kelebihan sokongan di peringkat negeri tidak semestinya diterjemahkan kepada jumlah kerusi yang besar.
"PRU DUN ini dijangka berlangsung dalam suasana persaingan sengit, dengan keputusan akhir masih terbuka dan belum ada mana-mana parti yang boleh dianggap mempunyai laluan selesa untuk menguasai Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan," kata IDE dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan survei, kata IDE, sebanyak 62.3 peratus responden menyatakan mereka pasti keluar mengundi, manakala 24 peratus lagi berkemungkinan besar berbuat demikian.
Bagaimanapun, kumpulan yang menyatakan "kemungkinan besar" masih boleh berubah bergantung kepada perkembangan kempen, keadaan cuaca, kemudahan pengangkutan serta keupayaan jentera parti membawa penyokong ke pusat mengundi.
Sebanyak 9.8 peratus responden masih belum pasti, 2.3 peratus menyatakan kemungkinan kecil untuk mengundi dan 1.7 peratus pula pasti tidak akan mengundi.
IDE berkata, perbezaan kecenderungan keluar mengundi mengikut kaum juga boleh memberi kesan kepada keputusan terutama di kawasan campuran.
"Dari sudut kaum, pengundi Melayu menunjukkan komitmen paling tinggi, dengan 66.7 peratus pasti akan mengundi. Angka lebih rendah dalam kalangan pengundi Cina, iaitu hanya 56.1 peratus akan keluar mengundi dan pengundi India hanya 56.6 peratus
"Perbezaan ini berpotensi memberikan kesan besar di kawasan campuran. Parti yang bergantung kepada sokongan pengundi bukan Melayu perlu memastikan penyokong mereka benar-benar hadir, khususnya di kerusi bandar dan separa bandar yang mempunyai persaingan rapat," katanya.
Dalam kalangan pengundi muda berusia 18 hingga 30 tahun pula, hanya 51.8 peratus menyatakan mereka pasti mengundi, berbanding 67.4 peratus bagi kumpulan berusia 31 hingga 60 tahun dan 63.4 peratus bagi pengundi berusia 61 tahun ke atas.
Dari segi keputusan politik, IDE mendapati 63.4 peratus responden sudah menentukan parti yang akan dipilih, namun sekurang-kurangnya 33.8 peratus boleh dikategorikan sebagai pembuat keputusan lewat.
Angka itu merangkumi 12.3 peratus yang membuat keputusan selepas penamaan calon, 6.7 peratus pada minggu terakhir sebelum pengundian dan 14.8 peratus yang hanya akan membuat keputusan pada hari mengundi.
"Angka tersebut menunjukkan kempen belum selesai walaupun majoriti responden telah mempunyai kecenderungan politik. Hari-hari terakhir sebelum pengundian masih mempunyai nilai strategik yang tinggi," katanya.
Menurut IDE, pengundi yang membuat keputusan lewat lazimnya lebih sensitif terhadap kredibiliti calon, kempen dari rumah ke rumah, isu kos sara hidup, prestasi kerajaan negeri serta persepsi terhadap kepimpinan parti.
IDE turut menganggarkan sekitar lapan kerusi marginal bakal menjadi medan penentu pembentukan kerajaan negeri, dengan perubahan kecil dalam kadar keluar mengundi atau peralihan beberapa ratus undi berpotensi mengubah kedudukan keseluruhan.
Dalam pada itu, IDE berkata persaingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dijangka kekal sengit, khususnya di kawasan yang mempunyai komposisi pengundi campuran dan margin sokongan kecil.
Kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding dalam beberapa pertandingan tiga penjuru pula berpotensi menyebabkan undi BN dan Perikatan Nasional (PN) berpecah.
IDE berkata perkembangan kerjasama tidak rasmi BN-PN melalui keputusan tidak bertembung di sesetengah kerusi turut menimbulkan polemik dalam kalangan pengundi.
Selain itu, isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) serta penyebaran berita palsu dan maklumat tidak disahkan turut dikenal pasti sebagai antara faktor yang boleh mempengaruhi persepsi pengundi.
"Keadaan ini menunjukkan bahawa naratif politik semasa bukan sahaja dipengaruhi oleh isu sebenar, tetapi juga oleh cara maklumat ditafsir, disebarkan dan dimanipulasi dalam ruang sosial masyarakat," ujarnya.
Kesan kempen, isu RCI Tabung Haji
IDE berkata pendekatan kempen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi penekanan kepada penerangan isu, rekod pentadbiran, kestabilan politik serta kepentingan menjaga institusi negara dilihat memberikan momentum baharu menjelang penghujung kempen.
Menurutnya, perkembangan itu mendorong sebahagian pengundi untuk mendapatkan maklumat, menyemak fakta dan memahami konteks isu yang dibangkitkan, khususnya dalam kalangan pengundi atas pagar dan pembuat keputusan lewat.
Bagaimanapun, IDE berkata peningkatan pencarian maklumat tidak semestinya diterjemahkan secara automatik kepada sokongan kerana ia bergantung kepada kemampuan jentera parti memberikan penjelasan yang mudah, konsisten dan meyakinkan.
Dalam perkembangan lain, sentimen "anti-DAP" turut dikenal pasti memberi tekanan kepada sebahagian pengundi Cina.
Berdasarkan perbincangan kumpulan berfokus (FGD), IDE mendapati sebahagian pengundi Cina merasakan sentimen tersebut dimainkan secara berlebihan sehingga perbahasan tidak lagi terbatas kepada kritikan terhadap parti, dasar atau prestasi, sebaliknya menyentuh persoalan identiti dan rasa kepunyaan mereka sebagai rakyat Malaysia.
IDE berkata kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan masyarakat Cina dan India turut menerima kritikan kerana dilihat boleh memberi gambaran seolah-olah rakyat bukan Melayu mempunyai tanah air lain selain Malaysia.
Pada masa sama, isu pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji pada penghujung kempen turut berpotensi membentuk persepsi baharu dalam kalangan pengundi Melayu-Islam.
"Oleh sebab isu ini muncul pada saat-saat akhir kempen, kesannya mungkin lebih besar terhadap pengundi yang masih belum membuat keputusan."
IDE bagaimanapun mengingatkan isu berkenaan perlu dinilai berdasarkan kandungan penuh laporan dan tidak digunakan untuk menghukum mana-mana pihak sebelum proses undang-undang selesai.
Aminuddin ada kelebihan persepsi
Dalam pada itu, IDE berpandangan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun mempunyai tiga aset persepsi kepimpinan utama iaitu dilihat sebagai pemimpin mesra rakyat, mempunyai rekod pentadbiran yang baik serta bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.
Ketiga-tiga ciri tersebut mencatatkan penilaian positif melebihi 40 peratus dalam survei dan menjadi antara kekuatan peribadi Aminuddin menjelang pengundian.
"Penilaian tersebut memperlihatkan bahawa Aminuddin mempunyai kelebihan dari segi penerimaan peribadi yang melangkaui penilaian terhadap parti," katanya.
IDE berpendapat kelebihan tersebut berpotensi menjadi faktor pembeza terutama dalam kalangan pengundi sederhana, pengundi atas pagar dan mereka yang lebih menilai calon serta prestasi berbanding kesetiaan kepada parti.
Namun, ia menegaskan kelebihan persepsi itu hanya memberi kesan elektoral sekiranya berjaya diterjemahkan kepada keyakinan pengundi untuk hadir ke pusat mengundi.
"Dalam persaingan yang rapat, faktor kepimpinan Aminuddin boleh menjadi elemen pembeza, terutama bagi pengundi sederhana, pengundi atas pagar dan mereka yang lebih menilai calon serta prestasi berbanding kesetiaan parti," kata IDE lagi.
