Persaingan kuasa dalam Pas, politik tidak lagi 'suci'?
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pas yang sering melabel parti lain sebagai sekular dan tidak ‘suci’ didakwa menggunakan naratif tersebut bagi menutup kelemahan dalam kelompok mereka sendiri, kata Ustaz Syamsul Firdaus Supri (gambar).
Mantan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Taman Medan itu berkata, sebaliknya sistem politik dalam kerangka demokrasi bukanlah terikat dengan konsep syarak tertentu, sebaliknya merupakan ijtihad duniawi dan kaedah pelaksanaannya tidak dibataskan oleh sebarang kaedah agama.
Katanya, politik Pas sebelum ini meletakkan organisasi mereka dan agama sebagai suatu perkara yang saling berkaitan. Namun apabila pemimpin dalam parti itu bersaing kuasa, seperti krisis politik di Perlis, maka hal itu tidak wajar dikaitkan dengan agama malah dalam sesetengah kes membelakangkan kaedah agama.
"Politik adalah bentuk persaingan bagi mendapatkan mandat dan kepercayaan dalam mentadbir entiti kekuasaan sama ada kerajaan atau struktur seumpamanya.
"Jadi dalam parti yang berlabelkan agama, persaingan itu juga tidak lari daripada aspek yang meminggirkan nilai ajaran agama walaupun ia organisasi politik berlabel agama.
"Dengan makna, ia juga boleh menyeleweng malah lebih teruk lagi kerana dibalut label agama," katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan Pas sering menuduh parti lain sebagai sekular dan tidak suci, namun krisis dalaman Pas di Perlis membuktikan politik ulama juga terdedah kepada konflik dan saling berpuak.
Ditanya mengenai dakwaan perebutan kuasa antara Pas dan Bersatu untuk menerajui Perikatan Nasional (PN) yang seharusnya membuka mata generasi muda bahawa Pas juga merupakan sebuah parti politik biasa, Ustaz Syamsul berpandangan, Pas turut mempunyai keinginan untuk menguasai PN namun parti itu tidak mempunyai calon yang layak biarpun banyak ulama dalam barisan kepimpinan.
"Ini kerana mereka membawa istilah ‘Islam memimpin’ yang dimaksudkan parti berlabel agama memimpin, walaupun mereka tiada tokoh berupaya memimpin.
"Itulah sebabnya mereka mahu menguasai gabungan parti yang mereka anggotai, seperti gabungan lain sebelum ini.
"(Bagi orang muda) bukan sekadar generasi muda. Semua rakyat Malaysia mesti tahu sejarah dan tingkah laku Pas yang tidak konsisten dalam politik," ujarnya lagi.
Penganalisis politik sebelum ini mendakwa persaingan dalaman Pas pasca krisis kepimpinan di Perlis sengit, memperlihatkan kelompok ulama Pas seolah olah terbahagi dua antara Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin yang kurang bersetuju dengan pemecatan tiga ADUN Pas Perlis, dengan kelompok Presiden Pas Hj Hadi Awang.
Pertembungan menjadi lebih rumit apabila Pas juga cuba menguasai PN pada ketika bekas pengerusinya, Muhyiddin Yassin mengusulkan badan pengurusan baharu dalam gabungan itu.









Comments