top of page

Biro Pekerja KEADILAN Selangor tumpu gerakan advokasi hak pekerja

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read


Oleh: Akmal Manaf


KEADILAN Selangor memperkukuh usaha memperjuangkan hak pekerja apabila menubuhkan Jawatankuasa Gerak Kerja Biro Pekerja peringkat negeri sebagai platform penyelarasan gerak kerja dan advokasi pekerja di negeri berkenaan.


Pengerusi Biro Pekerja KEADILAN Selangor, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (gambar) berkata, jawatankuasa tersebut akan memberi tumpuan kepada penyampaian maklumat berkaitan hak undang-undang serta faedah pekerjaan yang kurang diberi penjelasan, khususnya kepada pekerja sektor awam dan swasta di negeri itu.


"Peranan yang perlu dimainkan di sini adalah untuk memberi maklum tentang apa yang sewajarnya ada dalam rangkaian undang-undang dan juga ada faedah-faedah yang tidak diberikan tumpuan atau taklimat semasa untuk mereka ini hadam dan fahami tentang hak mereka.


"Jadi hari ini kita telah menubuhkan jawatankuasa gerak kerja. Di peringkat negeri kita sudah pun kenal pasti seramai 15 orang. Kita libatkan mereka yang berpengetahuan, pengamal undang-undang buruh dan juga badan-badan politik kawasan.


"Di situ juga kita mencadangkan supaya setiap Cabang mempunyai Pengerusi Biro Pekerja Cabang dan juga jawatankuasanya untuk kita menyebar luaskan tentang aktiviti-aktiviti yang akan kita laksanakan.


"Kita juga telah bersetuju dengan rangka perancangan yang akan digerakkan bagi memastikan keperluan dan hak pekerja di Selangor dapat disampaikan dan dipenuhi," katanya ketika ditemui Suara Keadilan.


Di peringkat cabang pula, Abdullah Sani berkata, tumpuan diberikan kepada pelantikan pengerusi Biro Pekerja Cabang dan jawatankuasanya, memandangkan pendekatan itu tidak memerlukan pembentukan sekretariat khusus atau penganjuran mesyuarat secara formal pada peringkat awal.


"Sebab di peringkat awal ini, kita tumpukan kepada gerak kerja negeri, maknanya di peringkat Cabang-Cabang ini, mereka boleh lantik 10 atau 20 orang ahli jawatankuasa untuk mereka memanfaatkan aktiviti yang akan kita lakukan di setiap zon.


"Kita mempunyai empat zon iaitu utara, selatan, barat dan timur. Di keempat-empat zon itu kita akan melantik seseorang untuk memantau aktiviti-aktiviti yang merungkaikan apa yang hendak dilaksanakan dalam proses kita nak memberikan penerangan dan taklimat tentang faedah dan juga hak mereka dalam pekerjaan," jelas Abdullah Sani yang juga Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page