Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dinamika hubungan atau persaingan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China tidak boleh memaksa Malaysia untuk bersikap memihak.
Perdana Menteri berkata Malaysia mempunyai hubungan dan kerjasama yang baik dengan AS dan China lantas menjadikan Malaysia dan ASEAN sebagai negara dan rantau paling stabil serta kondusif untuk pelaburan pelbagai bidang.
"Pada masa yang sama, sektor swasta perlu bekerjasama rapat dengan masyarakat sivil dalam memastikan ketelusan sektor tersebut sekali gus tidak mengulangi kes-kes penyelewengan mega yang melibatkan wang negara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di Facebook mengenai sesi dialog yang disertainya pada Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-30 bertemakan “The Global Economy and State of The World” di San Francisco hari ini.
Anwar berkata, beliau juga menyentuh mengenai cabaran bersama yang didepani semua pihak iaitu gelombang kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim juga usaha membasmi kemisikinan.
"Saya sekali lagi menggesa agar usaha diperhebat ke arah memantapkan demokrasi dan ketelusan agar defisit kepercayaan yang sedang dihadapi oleh pemimpin-pemimpin politik seluruh dunia dapat ditangani secara bersama," katanya lagi.
Comments