Persahabatan aktivis M'sia - Pulau Kokos kembangkan dakwah wasatiyah
- Suara Keadilan
- Jul 11
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menerima kunjungan persahabatan daripada aktivis dakwah dari Pulau Kokos, Australia di Putrajaya baru-baru ini.
Beliau berkata mereka mengambil peluang melakukan kunjungan tersebut dalam percutian ke Malaysia.
"Saya dan sahabat-sahabat mempunyai hubungan yang baik dengan penduduk di Pulau Kokos.
"Kami pernah melaksanakan beberapa misi di sana dengan menghantar aktivis kami untuk mengajar al-Quran, fardhu ain, feqah dan lain-lain," katanya dalam hantaran dimuat naik di Facebook.
Zulkifli berkata, beliau sendiri terlibat melatih aktivis-aktivis tersebut yang kesemuanya berjaya menunjukkan prestasi cemerlang.
"Antara perkara paling saya tekankan ialah kefahaman dan amalan Islam yang wasatiy (sederhana) dan menjaga akhlak serta hormat menghormati," jelas beliau.
Tambah Zulkifli terdapat juga anak-anak penduduk Pulau Kokos yang dibantu dengan mengaturkan peluang menjalani pengajian di Malaysia dan setelah tamat, mereka kembali ke pulau itu sebagai imam dan guru agama.
"Alhamdulillah, keadaan di Pulau Kokos adalah baik. Masyarakat pun hidup aman dan damai.
"Dakwah merentasi sempadan dan ukhuwah hingga ke akhirnya. Islam terus subur dan mekar di Malaysia dan bumi Kokos, Insya-Allah," katanya lagi.
Comments