Setiap masjid di Selangor selepas ini akan disediakan perpustakaan mini untuk ahli kariah meminjam, membaca buku atau melayari internet.
Menurut Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Saharudin Abu Bakar, idea yang beliau kemukakan sejak 2 tahun lalu itu dan disampaikan kepada kepada Menteri Besar (MB) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari telah pun membuahkan hasil dengan perasmian perpustakaan mini di Masjid Jamiatus Solahiah Kampung Sungai Tua Baharu, semalam.
Katanya, idea tersebut selain disokong oleh MB juga disokong penuh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
"Idea ini telah lama, sejak 2 tahun lepas apabila saya berjumpa dengan MB untuk membuat perpustakaan mini di setiap masjid di Selangor
"Beliau menyokong sepenuhnya dan mencadangkan saya membuat di Masjid Sungai Tua. Jadi saya menyahut seruan beliau
"Saya terus bertemu jawatankuasa masjid untuk menyatakan niat untuk mewujudkan sebuah perpustakaan mini," katanya.
Bagaimanapun pada mulanya, kata Saharudin, cadangan membina perpustakaan adalah dengan struktur kekal di perkarangan masjid.
Namun setelah beliau diberi cadangan untuk menggunakan kabin maka konsep itu dirasakan lebih sesuai dan kompak serta boleh dialihkan sekiranya perlu.
"Walaupun mengambil masa dua tahun maka hari ini kita berjaya buat. Masjid yang kita hubungi banyak berminat tetapi halangannya adalah kewangan, dan siapa nak uruskan perpustakaan.
"Kita tidak ada masalah urus perpustakaan kerana kita gunakan khidmat sukarelawan. Kita serah (perpustakaan) kepada masjid tetapi minta NGO yang menjaga perpustakaan ini," katanya.
Tambah Saharudin, perpustakaan di Masjid Sg Tua itu telah dilengkapi 80 peratus buku buku pelbagai tajuk sama ada buku agama, pengetahuan am, novel remaja dan buku kerajaan negeri.
Beliau berharap pihak yang berminat untuk menyumbang bolehlah melengkapkan perpustakaan itu dengan buku yang sesuai
Perpustakaan tersebut juga boleh digunakan untuk pelajar sekolah mengulangkaji pelajaran kerana selesa, mempunyai penghawa dingin dan disediakan 2 komputer serta pencetak di dalamnya.
Perpustakaan mini Masjid Jamiatus Solahiah Kampung Sungai Tua Baharu dirasmikan oleh MB Selangor yang berharap kewujudan perpustakaan itu akan menyemarakkan budaya menambah ilmu dalam kalangan ahli kariah.
Comments