Perpisahan Terakhir Kg Lee Kong Chian: Pejabat KRT 36 Tahun Melabuhkan Tirai
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 3 min read

Oleh: Lai Chen Heng
ULASAN: Malam kelmarin, 25 Ogos 2026, udara di Kampung Lee Kong Chian terasa sedikit berat. Di sebuah dewan kecil yang telah berdiri teguh selama 36 tahun, nadinya berdegup untuk kali yang terakhir.
Untuk rekod, Kampung Lee Kong Chian bukanlah sebuah "Kampung Baru" tipikal di ibu kota, malah ia adalah perkampungan unik seumpamanya yang terakhir merintangi landskap Wilayah Persekutuan.
Namun, takdir menuntut penamatan; tanah ini telah beralih milik kepada pemilik baharu dan proses pengambilan serta pengosongan strukturnya dijangka dimuktamadkan sepenuhnya sebelum penghujung tahun ini. Warga di sini bagaimanapun memilih untuk tidak pergi dalam sunyi, sebaliknya berhimpun melibatkan lebih 100 orang penduduk, anak muda, dan muka-muka lama untuk merayakan sebuah erti kebersamaan yang sukar dicari ganti berserta sambutan Hari Kebangsaan.
Masyarakat Cina patriotik
Suasana penuh gelora itu turut meredakan sebarang naratif serong. Lucu rasanya apabila memikirkan kontroversi kain rentang di Ampang baru-baru ini, di mana ada pihak luar melontarkan telunjuk seolah-olah masyarakat Cina tidak patriotik atau kurang menghormati bahasa kebangsaan.

Jika mereka hadir ke dewan itu pasti lidah mereka terkelu. Di hadapan mata, kesemua peserta dengan penuh teruja melambaikan Jalur Gemilang sambil diiringi alunan lagu-lagu patriotik, sekali gus menepis tanggapan serong pihak tertentu terhadap kecintaan mendalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini terhadap tanah air.
Himpunan yang merakam rasa hiba itu turut mengenang kembali memori kolektif yang tercipta sejak dewan ini dirintis dari kosong oleh pengasas awalnya, Ng Chooi Chong. Pengerusi KRT, Kerk Wei Bern dalam ucapannya menegaskan bahawa walaupun fizikal bangunan itu bakal hilang dari peta akibat projek pembangunan semula, semangat Rukun Tetangga tidak akan pernah padam kerana bangunan boleh berpindah, tetapi semangat kebersamaan dan ukhuwah ini akan terus kekal di hati setiap warga.
Suasana malam itu turut dihangatkan dengan detik menyentuh hati apabila pihak jawatankuasa menganjurkan sambutan hari lahir secara kejutan buat dua figura yang banyak mencurahkan bakti kepada komuniti — bekas Ahli Parlimen Datuk Seri Yew Teong Look dan bekas Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Lai Chen Heng.
Datuk Seri Yew yang menyambut ulang tahun kelahirannya pada 26 Ogos tidak dapat hadir secara fizikal dan dihubungi menerusi panggilan video, manakala Lai menyambutnya pada 21 Ogos lalu. Biarpun berbeza latar belakang politik, kedua-dua pemimpin tersebut bersama-sama diraikan dalam semangat perpaduan yang utuh. Majlis turut menyerikan kehadiran pemimpin tempatan termasuk Ketua Bahagian MCA Wangsa Maju, Datuk Ng How Doo serta Ketua Ranting KEADILAN Kampung Lee Kong Chian, Quah Leng Keng.
Legasi Kg Lee Kong Chian kekal
Di sebalik kemeriahan kek hari lahir dan lambaian bendera, realiti penempatan semula penduduk B40 turut mendapat perhatian apabila pihak DBKL menerusi peranan aktif Lai Chen Heng berusaha membantu mengatur penempatan Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi penduduk yang terjejas. Usaha prihatin tersebut turut mendapat pengiktirafan di peringkat nasional apabila ia dibangkitkan secara rasmi di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng.
Ketika tirai malam 26 Ogos 2026 ini berlabuh, dewan 36 tahun itu mungkin sedang menghitung hari-hari terakhirnya sebelum diratakan jentolak. Kampung Lee Kong Chian mungkin perlahan-lahan hilang dari peta fizikal Kuala Lumpur, meninggalkan statusnya sebagai kampung terakhir di ibu kota, namun legasi, jasa bakti, serta silaturahim yang terjalin erat akan terus kekal subur dalam lipatan sejarah komuniti Wangsa Maju buat selama-lamanya.




Comments