Perpecahan yang melanda parti Bersatu Bahagian Tenggara, Johor menunjukkan sesuatu yang tidak beres berlaku dalam parti pembangkang berkenaan.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Tenggara, Fakharuddin Moslim, perpecahan itu juga menggambarkan bahawa pemimpin parti terbabit hanya berminat untuk berebut kuasa dan tidak fokus membela nasib rakyat.
"Ini berbeza sama sekali dengan Parti Keadilan Rakyat, khususnya di Tenggara. Kita fokus untuk membela nasib rakyat, turun ke akar umbi, jumpa rakyat dari masa ke semasa.
"Dari sudut perjalanan demokrasi parti sekalipun, khasnya jika berlaku pemilihan, kita (KEADILAN) tidak menyekat mana-mana anggota untuk terlibat dalam pemilihan, bertanding di mana-mana peringkat jawatan parti.
"Itu bukti jelas bahawa kita mengamalkan ketelusan demokrasi yang sebenar. Kita raikan suara akar umbi seluasnya. Bukan sekadar omongan (kosong)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Fakharuddin berkata, rakyat seharusnya sedar parti manakah yang benar benar berjuang untuk memperbaiki taraf hidup mereka tanpa mengambil kira hal hal kekuasaan.
"Oleh yang demikian, kita menyeru seluruh rakyat, khasnya di Tenggara supaya menjauhi politik rakus dan pecah belah Bersatu serta memberi dokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membina semula ekonomi negara.
"Bersama sama kita mengangkat pembangunan insan selaras hasrat Madani," katanya lagi.
Pada 2 Nov lalu, Berita Harian melaporkan parti Bersatu Bahagian Tenggara terbubar apabila ketuanya bersama ahli jawatan kuasa mengumumkan keluar daripada parti itu.
Bekas Ketua Bersatu Tenggara, Hassan Rasid berkata keputusan keluar parti itu diambil selepas melalui proses pertimbangan yang mendalam dan merujuk kepada beberapa isu yang dianggap kritikal.
Beliau berkata, mereka berasakan tidak lagi yakin dengan kepemimpinan tertinggi parti yang dilihat gagal menguruskan parti, lemah, tidak amanah, tiada integriti serta gagal melaksanakan tanggungjawab.
Comments