Oleh: Noraini Nordin
ANALISIS: Saat pembangkang dikhabarkan sedang 'bercakar-cakaran' gara-gara berebut jawatan, Kerajaan Perpaduan terus utuh memperteguhkan lagi perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang berlangsung di Ipoh, Perak hari ini adalah satu lagi bukti bawa perpaduan PH-BN bukan sebarangan.
Perpaduan ini amat utuh dan tidak boleh disangkal atau dimomok-momokkan lagi.
Buktinya konvensyen hari ini berjaya menghimpunkan seluruh pimpinan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan peringkat negeri dengan mengangkat tema “Bersama Demi Malaysia”.
Bagi rakyat Malaysia yang mencintai kedamaian, keharmonian dan kestabilan dalam berpolitik serta hidup bermuafakat, pasti akan menarik nafas lega dengan perkembangan terbaharu ini.
Peristiwa hari ini juga adalah satu lagi catatan manis yang boleh 'menutup mulut' 'tong-tong kosong ' yang masih mengkhayalkan Kerajaan Madani kononnya bakal runtuh.
Fitnah pembangkang tidak laku lagi
Siri-siri fitnah oleh pihak pembangkang juga bakal tidak laku apatah lagi. Cubaan-cubaan 'menebuk atap' Kerajaan Madani pasti tidak akan membuahkan hasil.
Lebih 1,500 perwakilan dari PH-BN menghadiri Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina, Ipoh, Perak memberikan harapan ke arah penyatuan di seluruh negara.
Ucapan perasmian penutup disempurnakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden KEADILAN pula menekankan amanat untuk bergerak seiya sekata dalam Kerajaan Perpaduan daripada hierarki tertinggi sehingga ke akar umbi.
Turut menyampaikan ucapan adalah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Manakala ucapan penggulungan konvensyen dilakukan oleh Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Menteri Besar Perak.
Penggulungan Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Perak, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa pula menetapkan misi tahun 2024, iaitu menyebarluaskan mesej perpaduan dan keharmonian kepada seluruh rakyat Malaysia.
Yang berpakat akan rasai kemenangan
'Bulat Air Kerana Pembentung, Bulat Manusia Kerana Muafakat' - bidalan yang amat bertepatan dengan konvensyen hari ini.
Mereka yang bermuafakat, bersefahaman dan bertoleransi pasti akan menang dalam meniti ranjau perjuangan.
Yang khianat serta suka mengadu domba pasti hati mereka tidak tenang, bahkan lebih mudah kecundang di tengah jalan.
Hari ini rakyat menjadi saksi bahawa PH-BN adalah gabungan yang matang dan mengutamakan negara serta rakyat dalam berpolitik.
Ayuh semua, mari kita bersama berpadu tenaga memperteguh persepakatan untuk memantapkan lagi jalinan perpaduan ke pelusuk negara.
Malaysia Madani adalah agenda mengangkat martabat rakyat. Bersama kita sebar seluasnya mesej Madani, bukan sahaja ke seluruh negara tetapi iuga sehingga ke pentas dunia.
Ayuh terus mara bersama PMX membina Malaysia Madani yang cemerlang.
________________________________________________________________________________
Penulis juga Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments