Perpaduan infrastruktur sosial negara, bukan retorik bermusim – Yuneswaran
- Suara Keadilan
- 6 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Perpaduan nasional perlu menjadi infrastruktur sosial sebagai asas kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negara serta bukan retorik bermusim, demikian menurut Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj.
Beliau berkata, ketika dunia kian terpolarisasi di media sosial, wacana politik dan perbualan harian, Malaysia tidak mempunyai pilihan selain kembali kepada asas pembinaannya sebagai negara berbilang kaum, agama dan budaya.
"Kepelbagaian kaum, agama, budaya dan bahasa bukan beban yang perlu “ditoleransi” sebaliknya aset nasional yang perlu diperkasakan.
"Kepelbagaian yang diurus dengan hikmah melahirkan masyarakat lebih kreatif, lebih terbuka dan berdaya saing.
"Kepelbagaian juga menjadikan Malaysia unik sebagai negara yang mampu membina ruang bersama tanpa memadam identiti masing-masing," katanya dalam kenyataan.

Yuneswaran berkata, kerangka Malaysia MADANI melalui enam teras nilainya menyediakan kompas moral penting dalam membina perpaduan.
Kata beliau teras kemampanan menuntut perpaduan dibina secara konsisten dan bukan ketika krisis.
"Kesejahteraan pula mengingatkan bahawa perpaduan tidak boleh wujud jika ada komuniti yang merasa tersisih daripada peluang ekonomi, akses pendidikan, perkhidmatan asas atau rasa “dimiliki” oleh negara," ujarnya.
"Perpaduan bermula apabila setiap rakyat merasakan mereka ada tempat yang adil di bawah langit yang sama."
Dalam konteks negara majmuk, Yuneswaran berkata nilai hormat mesti menjadi tiang utama hubungan antara komuniti termasuk kesediaan memahami sensitiviti agama, budaya dan cara hidup masing-masing.
Beliau turut mengingatkan, setiap kata dan tindakan di ruang digital mempunyai implikasi terhadap keharmonian sosial sekali gus menjadikan budaya mengejek, melabel dan memperlekeh kaum atau agama lain perlu ditolak secara tegas.
Mengulas cabaran semasa, Ahli Parlimen Segamat itu berkata, politik kebencian dan budaya “viral” semakin merumitkan usaha membina perpaduan apabila isi kandungan dipotong, disalah tafsir atau dimanipulasi untuk mencetuskan kemarahan.
"Algoritma sering memberi ganjaran kepada emosi, bukan kebenaran. Oleh itu, literasi digital dan disiplin menyemak fakta mesti menjadi sebahagian daripada agenda perpaduan nasional," katanya sambil menegaskan bahawa rasisme, penghinaan agama dan ekstremisme tidak boleh dinormalisasi atas nama kebebasan bersuara.
Beliau turut menekankan peranan ihsan sebagai nilai yang mampu meredakan prasangka dan memperkukuh ketahanan emosi masyarakat selain daya cipta yang boleh dimanfaatkan sebagai kekuatan kolaborasi dalam pendidikan, ekonomi dan inovasi sosial.
"Negara yang berpecah akan kehabisan tenaga untuk bertahan, manakala negara yang bersatu mempunyai tenaga untuk mencipta," katanya.
Menyentuh soal kepercayaan rakyat, Yuneswaran berkata perpaduan juga bergantung kepada keyakinan terhadap institusi, undang-undang dan tadbir urus yang adil serta berintegriti.
"Kementerian Perpaduan Negara akan terus memperkukuh program interaksi komuniti, pendidikan nilai dan penghayatan Rukun Negara, namun perpaduan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata," katanya.
Menurut beliau, perpaduan menuntut komitmen bersama semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik, pemimpin agama, pemimpin politik dan rakyat keseluruhannya untuk memilih empati berbanding kebencian.
"Malaysia yang kita impikan ialah Malaysia yang anak-anaknya membesar tanpa prasangka, komuniti hidup tanpa ketakutan dan masa depan dibina bersama tanpa memadam identiti sesiapa," katanya lagi.





