top of page

Permutuan padi di T'ganu: Kementerian Pertanian sahkan permutuan ikut piawaian

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
8 hours ago
2 min read

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengesahkan kadar pemutuan padi sebanyak 46.2 peratus di Kilang Beras BERNAS (KBB) Bukit Kenak, Terengganu, ditentukan mengikut piawaian ditetapkan.


KPKM berkata, semakan terperinci terhadap rekod transaksi serta prosedur pengujian kualiti padi berkenaan telah dilaksanakan Seksyen Kawalselia Padi dan Beras (KPB) pada 8 September lalu susulan video seorang pesawah yang tidak berpuas hati dengan kadar pemutuan tersebut tular di media sosial.


"Hasil semakan mendapati bahawa proses pemeriksaan dan penentuan kualiti padi tersebut telah dijalankan mengikut Malaysian Standard MS 84:2017 sepertimana yang telah ditetapkan oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras melalui Perintah Tetap Ketua Pengarah Bilangan 3/2017 mengenai pemakaian Standard Operating Procedure Pemutuan Padi," kata kenyataan itu.


Menurut KPKM, analisis makmal fizikal mendapati faktor utama yang menyumbang kepada kadar pemutuan berkenaan ialah kandungan biji padi muda atau hijau yang tinggi, mencecah 23.8 peratus selepas ditolak pelepasan tiga peratus yang dibenarkan.


Selain itu, kadar wap basah menyumbang 10.6 peratus manakala hampa sebanyak 11.8 peratus.


KPKM berkata, aktiviti tuaian padi di Terengganu bagi Musim 2/2026 kini masih di peringkat awal, khususnya di kawasan luar pengairan jelapang padi.


"Padi yang dituai pada peringkat awal musim, terutamanya dari kawasan luar pengairan jelapang padi seperti di Kampung Jelapang, Setiu, lazimnya terdedah kepada isu kematangan biji padi yang tidak sekata semasa proses tuaian," katanya.


Dalam pada itu, KPKM menegaskan amalan pemutuan di semua kilang belian sentiasa mengutamakan komunikasi dua hala yang telus bersama pesawah atau wakil mereka.


Bagi transaksi terbabit, kementerian berkata kadar pemutuan telah dimaklumkan dengan jelas dan wakil pesawah turut mengesahkan persetujuan terhadap penilaian itu menerusi tandatangan pada Sijil Mutu Padi (SMP) sebelum pengesahan belian dilakukan.


"KPKM kekal komited untuk memelihara kebajikan pesawah serta memastikan kecekapan industri padi dan beras negara sentiasa berada di tahap terbaik berlandaskan garis panduan serta piawaian yang ditetapkan," katanya.


KPKM turut memaklumkan pasukan pemantau Kawalselia Padi dan Beras telah diarahkan menyelaras operasi pemantauan di negeri-negeri yang bakal menghadapi musim penuaian padi bagi memastikan proses pembelian dan penilaian kualiti dilaksanakan mengikut ketetapan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page