Permudahkan usaha pendaftaran, suntikan disuntik vaksin kepada rakyat - MPN KEADILAN


Kerajaan Perikatan Nasional bukan sahaja diseru agar menyegerakan proses menyuntik vaksin kepada rakyat Malaysia malah digesa untuk memudahkan rakyat mendapatkan vaksin berkenaan.


Hal itu diputuskan dalam mesyuarat Pengerusi-pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN, semalam.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan sejurus mesyuarat berakhir, MPN KEADILAN mendesak agar memperbanyak pusat pemberian vaksin kepada rakyat.


"MPN sedar terdapat aduan terkait dengan pusat pemberian vaksin (PPV) yang dipusatkan di bandaraya sahaja seperti pusat pemberian vaksin AstraZeneca (PPVAZ) untuk warga emas di Johor, iaitu hanya di Persada Johor International Convention Center, Johor Bahru.


"Maklumat rasmi dikeluarkan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 pada 22 Mei lalu menyatakan demikian sedangkan ciapan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada 17 Mei menyebutkan AstraZeneca juga akan dihantar kepada rumah jagaan warga emas. Mana satu yang betul?" tanya mereka.


Sehubungan itu, MPN mahu kerajaan PN menambahbaik beberapa perkara dalam program vaksinasi Covid 19 kebangsaan dengan menggunakan saluran dan media yang jelas supaya maklumat yang sampai kepada rakyat selari dan mudah diikuti


Kerajaan juga, kata mereka, perlu meningkatkan kejelasan dan ketelusan dalam sistem pengganti penerima vaksin sekiranya penerima asal tidak dapat hadir atau menolak. Kekeliruan dalam hak pengagihan vaksin dan SOP juga perlu diselesaikan dengan melantik jurucakap yang sesuai


Kerajaan perlu membuka seberapa luas ruang pemberian vaksin termasuk menambah PPV di hospital dan klinik swasta supaya lebih mudah dicapai rakyat, termasuk di luar bandar dan membenarkan negeri-negeri membeli sendiri vaksin tanpa banyak karenah birokrasi.


Selain itu, kata mereka, usaha mendaftarkan semua rakyat Malaysia bagi mendapatkan vaksin perlu dipergiat dan dipermudahkan.


"Usaha pendaftaran bagi vaksinasi Covid-19 wajar disokong dan digerakkan sebagai sebahagian daripada program imunisasi kebangsaan untuk melindung diri dan semua daripada sebarang jangkitan.


"Negeri-negeri wajar bekerjasama dengan wakil-wakil rakyat dan agensi yang berkenaan supaya pendaftaran dapat diluaskan, termasuk di kawasan luar bandar juga kalangan masyarakat rentan serta warga emas.


"MPN bagaimanapun mendesak kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri memudahkan serta menyegerakan pemberian vaksin kerana masih terdapat jurang yang besar antara jumlah yang berdaftar dan jumlah yang divaksin.


"Terdapat jurang yang besar antara unjuran pemberian harian sebanyak 75,000 suntikan dengan angka sebenar sebanyak 30,000 - 40,000 suntikan sehari. Malahan terdapat jurang amat besar antara jumlah dos vaksin yang diperolehi rakyat dengan unjuran oleh Kementerian iaitu perbezaan kekurangan hampir 3.6 juta dos," kata mereka lagi.


Oleh itu, MPN khuatir dengan kelemahan dan kelembapan kerajaan PN menangani isu Covid-19 dan vaksin. Sementara rakyat dan peniaga terus diminta waspada terhadap wabak.


"Kegagalan kerajaan memahami keadaan sebenar rakyat boleh menambahburuk keadaan. MPN mendesak kerajaan untuk melibatkan wakil-wakil rakyat dalam usaha melawan Covid-19 dengan membuka parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta bekerjasama di peringkat Negeri, Daerah dan Mukim," kata mereka lagi.




0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER