
Permuafakatan Antara Gabungan Di Bawah Kerajaan Perpaduan diyakini mampu menjadi asas kepada pembentukan kerajaan yang stabil dan kukuh, kata Menteri Komunikasi dan Digital (KKD).
Ahmad Fahmi Fadzil berkata, permuafakatan yang ditandatangani pimpinan parti politik yang membentuk kerajaan pada Disember lalu itu merupakan mekanisme terbaik untuk orang ramai termasuk penyokong dan pemimpin parti saling memahami dan mengelak berlakunya kemelut politik.
"Isunya bukan hanya sekadar proses pilihan raya tapi pemahaman politik itu, maksudnya antara parti-parti membentuk kerajaan dia perlu ada satu persefahaman yang utuh dan baik.
"Ini kita lihat bagi Kerajaan Perpaduan, termeterai atau termanifestasi dan dizahirkan melalui perjanjian persefahaman yang telah ditandatangani pada pertengahan Disember 2022," katanya kepada pemberita di Wisma TV, Kuala Lumpur semalam.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan itu sebelumnya diminta mengulas titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan harapan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri terakhir yang dilantik di bawah pemerintahan Baginda.
Untuk rekod, lima gabungan parti politik utama - Pakatan Harapan, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) pada 16 Disember lalu menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama di Putrajaya bagi membentuk Kerajaan Perpaduan yang stabil.
Pemeteraian perjanjian tersebut yang merupakan julung kalinya dibuat adalah bagi memuktamadkan ketidaktentuan politik di Malaysia di bawah kepimpinan Anwar.