Pencalonan Nurul Izzah timbalan presiden tiada isu selagi berkelayakan
- Suara Keadilan
- 6 days ago
- 1 min read

Pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden KEADILAN dalam Pemilihan KEADILAN 2025 tidak sepatutnya menjadi isu besar sementelah beliau sebelum ini pernah menang jawatan naib presiden parti beberapa kali.
Bagi Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Amidi Abdul Manan, pencalonan Nurul itu tidak boleh dianggap sebagai 'nepotisme' sekiranya individu tersebut berkelayakan memimpin.
"Jelas tiada sebarang permasalahan jika Nurul Izzah dicalonkan bagi Jawatan Timbalan Presiden KEADILAN.
"Sudah semestinya proses pemilihan itu wajib berjalan dengan jujur, teratur dan adil, tanpa bias dan kecenderungan emosi sama seperti calon-calon yang lain.
"Jika Nurul Izzah menjadi pilihan perwakilan KEADILAN, kita semua perlu menghormati keputusan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, meskipun terdapat persepsi terutama dari kalangan musuh politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan memainkan isu 'parti anak beranak' dan sebagainya tetapi sekiranya pencalonan itu demi kebaikan KEADILAN maka hal itu tiada masalah.
Perkara utama, katanya, pemimpin yang dilantik berwibawa dan boleh membawa parti mencapai kemenangan dalam pilihanraya.
"Walaupun keadaan akan menjadi rumit namun ia juga dilihat boleh memantapkan lagi kepimpinan parti.
"Isunya bukan kaum kerabat, tetapi adalah keupayaan kita memelihara integriti dan mempertahankan keyakinan terhadap kepimpinan negara," katanya lagi.
Semalam Nurul Izzah rasmi menjadi pencabar Timbalan Presiden KEADILAN Datuk Seri Rafizi Ramli yang mempertahankan jawatannya.
Sementara seorang lagi pemimpin yang disebut sebut akan bertanding, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memilih untuk tidak meneruskan niat bertanding.
Comments