Permohonan subsidi diesel jip, pikap mula dibuka, bantu peniaga kecil
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 2 min read

Permohonan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi sektor baharu melibatkan kenderaan persendirian syarikat kategori jip dan pikap dibuka bermula hari ini dengan kelayakan subsidi berkuat kuasa mulai 15 Julai tertakluk kepada kelulusan permohonan dan pemilikan fleet card.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata peluasan itu membolehkan lebih ramai peniaga mikro dan kecil yang menggunakan jip serta pikap bagi tujuan operasi perniagaan menikmati subsidi diesel secara bersasar.
"Bagi sektor baharu iaitu Sektor Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap), permohonan pendaftaran dibuka bermula hari ini, Jumaat, 3 Julai dan kelayakan subsidi akan berkuat kuasa bermula 15 Julai tertakluk kepada kelulusan dan pemilikan fleet card," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketika ini, kerajaan menyalurkan subsidi bahan api melalui beberapa mekanisme mengikut kategori pengguna.
Bagi individu, subsidi disalurkan menerusi BUDI Rakyat manakala BUDI Agri-Komoditi memberi manfaat kepada petani, penternak dan pekebun kecil.
Skim Subsidi Diesel Nelayan pula dikhususkan kepada nelayan berdaftar, sementara SKDS menyediakan diesel bersubsidi kepada sektor pengangkutan, logistik, syarikat dan koperasi yang layak melalui penggunaan fleet card.
Menurut Armizan, melalui peluasan terbaharu itu, sektor Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap) menjadi kategori baharu di bawah SKDS.
"Sektor ini adalah tambahan kepada dua sektor sedia ada iaitu Sektor Pengangkutan Darat (Awam) dan Sektor Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna).
"Dengan penambahan ini, keseluruhan jenis kenderaan dan kelas kegunaan yang terlibat di bawah SKDS adalah berjumlah 35 sebagaimana Lampiran A," katanya.
Beliau berkata secara keseluruhannya manfaat SKDS disalurkan kepada entiti perniagaan, syarikat dan koperasi yang layak, dengan pemberian subsidi dibuat menggunakan fleet card mengikut kuota tetap berdasarkan jenis badan, kelas kegunaan dan kategori teknikal kenderaan.
Menurut kenyataan itu, bagi melayakkan permohonan, kenderaan hendaklah didaftarkan sebagai kenderaan perniagaan dengan Kelas/Kod Kegunaan Persendirian Syarikat (AE) dalam sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Selain itu, perniagaan mestilah berdaftar sebagai pemilikan tunggal atau perkongsian di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pendaftaran Pihak Berkuasa Tempatan bagi Sabah dan Sarawak.
Armizan berkata, peluasan kelayakan itu disasarkan untuk membantu peniaga mikro dan kecil yang menjalankan operasi menggunakan kenderaan persendirian syarikat.
"Subsidi ini disasarkan untuk memanfaatkan para peniaga mikro dan kecil yang berdaftar sebagai perniagaan milikan tunggal dan perkongsian.
"Sehubungan itu, pemilik perniagaan yang berkelayakan adalah digesa membuat permohonan pada kadar segera melalui portal MySubsidi," katanya.
Kerajaan telah memulakan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel baharu di bawah inisiatif BUDI MADANI Diesel bermula 1 Julai untuk menyeragamkan mekanisme subsidi diesel di seluruh negara.
Melalui pelaksanaan ini, individu yang layak akan menerima kuota asas sehingga 200 liter sebulan yang boleh digunakan secara fleksibel untuk pembelian diesel atau RON95 bersubsidi menggunakan MyKad.
Bagi pemilik persendirian kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak, kerajaan menambah kuota subsidi sebanyak 100 liter sebulan, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan.
Langkah ini diperkenalkan bagi memastikan subsidi lebih bersasar, telus dan memenuhi keperluan majoriti pengguna diesel, di samping mengekalkan subsidi untuk sektor strategik seperti nelayan, petani kecil dan pengangkutan awam.




Comments