top of page

Permohonan PTPK sepenuhnya dalam talian, tingkat kecekapan, akses

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 33 minutes ago
  • 1 min read

Oleh: Helmi Foad


Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) akan beralih sepenuhnya kepada sistem permohonan pembiayaan secara dalam talian mulai hari ini, demikian kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan (gambar).


Beliau berkata inisiatif pendigitalan itu bertujuan memudahkan akses, mempercepatkan proses permohonan serta meningkatkan keyakinan terhadap ketelusan dan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.


"Secara keseluruhannya, inisiatif-inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh peranan PTPK sebagai peneraju pembiayaan latihan kemahiran negara, malah menzahirkan iltizam KESUMA dan Kerajaan MADANI dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, berintegriti serta berdaya saing bagi mendepani cabaran ekonomi masa hadapan," katanya dalam hantaran di media sosial.


Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja di pejabat perbadanan itu bersama timbalannya Datuk Khairul Firdaus, semalam.


Terdahulu Ramanan berkata beliau menerima taklimat korporat berkait PTPK dengan pelbagai cadangan dan idea telah dibentangkan serta dibincangkan secara mendalam.


Katanya cadangan tersebut dikemukakan dengan matlamat yang jelas iaitu bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada akses kepada program TVET melalui pengurusan dana yang cekap, berfokus dan berimpak tinggi.


"Usaha ini juga penting bagi menjadikan TVET sebagai pilihan kerjaya utama, seterusnya berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan kemajuan negara," katanya.


Dalam pada itu, Ramanan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman peruntukan tambahan RM100 juta kepada PTPK khusus bagi melindungi kebajikan pekerja gig terutamanya dalam sektor e-hailing dan p-hailing.


"Langkah ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap realiti landskap pekerjaan semasa dan masa depan," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page