Permohonan PM ke mahkamah bukan untuk kekebalan - Jabatan Peguam Negara
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Jabatan Peguam Negara (AGC) tampil memaklumkan bahawa permohonan yang difailkan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, tidak bertujuan untuk mendapatkan kekebalan peribadi.
AGC berkata, rujukan tersebut adalah soalan struktur mengenai ‘tadbir urus Perlembagaan’ dan bukannya soalan tentang kekebalan peribadi.
"Proses rujukan Perlembagaan diwujudkan bagi membolehkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan membuat penentuan yang muktamad terhadap isu-isu tersebut.
"Pemerhatian awal AGC, soalan-soalan yang dirujuk tersebut tidak bertujuan untuk mewujudkan kekebalan mutlak bagi mana-mana individu.
"Sebaliknya, soalan-soalan itu membangkitkan isu Perlembagaan yang baharu dan belum pernah diputuskan, khususnya yang berkaitan dengan hubungan litigasi sivil dan keupayaan seorang perdana menteri yang sedang memegang jawatan untuk melaksanakan fungsi Eksekutifnya dengan berkesan," jelas AGC menerusi satu kenyataan.
AGC menjelaskan permohonan berkenaan dibuat mengikut Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
"Antara persoalan yang dibangkitkan adalah sama ada tindakan sivil berhubung perbuatan sebelum memegang jawatan boleh diteruskan sekiranya ia menjejaskan keupayaan perdana menteri untuk mentadbir.
"Soalan lain termasuk sama ada Perlembagaan secara implikasi memerlukan semakan ambang kehakiman dalam kes seperti itu, serta kesan peruntukan dalam Perkara 5(1), 8(1), 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan dalam melindungi prinsip pengasingan kuasa dan kestabilan institusi negara.
"Lapan persoalan yang dirujuk itu bersifat struktur, menyentuh aspek tadbir urus perlembagaan dan bukan berkaitan kekebalan peribadi.
"AGC menghormati integriti mekanisme Perlembagaan ini dan akan menilai sebarang permintaan untuk campur tangan berdasarkan merit undang-undang dan kepentingan awam, bukan sentimen berbaur politik," ujar AGC lagi.
AGC turut menegaskan sebarang keputusan berkaitan tafsiran peruntukan perlembagaan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan