Permohonan anggota baharu, tukar Cabang ditutup sementara laksana MATC
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menetapkan 20 Januari 2026 sebagai tarikh akhir bagi permohonan pendaftaran keanggotaan baharu serta permohonan penukaran cabang anggota bagi tujuan pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) 2026.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) dalam satu pemakluman memaklumkan bahawa MATC 2026 dijadualkan berlangsung bermula 6 Mac hingga 19 April 2026, selaras dengan ketetapan yang telah dibentangkan dan dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 9 November 2025.
"Dimaklumkan bahawa tarikh akhir bagi permohonan pendaftaran keanggotaan baharu serta permohonan penukaran cabang anggota adalah pada 20 Januari 2026 bagi tujuan pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) 2026," katanya.
Menurut beliau, semua permohonan berkaitan akan ditutup sepenuhnya mulai 21 Januari 2026 bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pelaksanaan MATC di peringkat cabang di seluruh negara.
"Permohonan keanggotaan baharu dan penukaran cabang anggota akan dibuka semula pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian, selepas selesai berlangsungnya Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat 2026 yang dijadualkan pada akhir Jun 2026," jelasnya.
Sehubungan itu, ahli dan individu yang berhasrat menyertai KEADILAN atau membuat penukaran cabang diminta mengambil maklum tarikh akhir yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kesulitan berkaitan kelayakan penyertaan dalam MATC 2026.









Comments