top of page

Perlupusan sisa radioaktif Lynas: Jangan lakukan konsultasi, tapak masih belum ditukar status



Proses Konsultasi Awam berkaitan Kajian Impak Alam Sekitar ke atas Tapak Pelupusan Kekal Sisa Buangan Radioaktif (PDF) Lynas sepatutnya tidak boleh diteruskan memandangkan kawasan yang dicadangkan belum ditukar status dan masih merupakan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) bernilai warisan Tahap 1.


Menurut Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, tapak PDF itu telah termaktub dalam Rancangan Tempatan Daerah Kuantan 2035 sebagai sebahagian kawasan yang lebih besar sebanyak 202.35 hektar di kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Kuantan, yang telah dikenalpasti sebagai kawasan Tapak Pelupusan Sisa Industri Berjadual Pelbagai Kategori (Multi Category Industrial Scheduled Waste Disposal Site - MCISWDS).


Katanya, Consultant EIA bagi pihak Lynas telah melaporkan bahawa kawasan tapak PDF tersebut sedang disisihkan (alienated) dari kawasan hutan simpan kekal tersebut.


"Bagaimanapun dapatan kajian saya mendapati kawasan yang dikenalpasti bukan setakat kawasan hutan simpan kekal tetapi fakta yang lebih merisaukan ialah ia merupakan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) bernilai warisan tahap 1, di mana kawasan seperti ini tidak boleh dibangunkan sekiranya kita berpandukan kepada garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Bandar dan Desa.


"Saya ingin tegaskan bahawa proses konsultasi dan pendengaran awam EIA Lynas ini merupakan satu proses yang songsang serta salah dari segi proses undang-undang," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Fuziah lagi, sekiranya kerajaan mahu meneruskan penilaian maka status tapak tersebut perlu diubah terlebih dahulu.


Katanya, KSAS bernilai warisan Tahap 1 bermaksud kawasan tersebut tidak boleh ada aktiviti pembalakan, perlombongan, mahupun pertanian.


"Mengubah status KSAS ini melibatkan proses konsultasi dan pendengaran awam dijalankan.


"Sekiranya status KSAS tersebut berjaya ditukar melalui proses konsultasi dan pendengaran awam, barulah Kajian Impak Alam Sekitar boleh di jalankan ke atas tapak pelupusan kekal sisa industri berjadual pelbagai kategori pula.


"Ini juga kemudiannya memerlukan konsultasi dan pendengaran awam. Akhir sekali barulah boleh dijalankan kajian impak alam sekitar ke atas tapak PDF Lynas," katanya.


Mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata lagi, Majlis Perbandaran Kuantan sebelum ini telah mematuhi garis panduan Rancangan Fizikal Negara dengan pewartaan kawasan berkenaan.


Maka diambang pemahsyuran menjadi Majlis Bandaraya Kuantan, katanya, amat tidak wajar sekiranya majlis itu tidak tersilap langkah di dalam isu berkenaan.


"Oleh itu, dalam keadaan di mana Majlis Perbandaran Kuantan diambang pemahsyuran menjadi Majlis Bandaraya, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi peringatan tegas, supaya jangan tersilap langkah di dalam isu ini. Kuantan harus membangun secara lestari dan bukan sebaliknya," katanya.


Fuziah juga kesal dengan peraturan di Pahang yang mana hutan simpan kekalnya boleh dinyah warta secara mudah tanpa melalui proses konsultasi dan pendengaran awam seperti mana di Selangor.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page