Perlukah harga beras diapungkan?
- Suara Keadilan
- Mar 18, 2024
- 2 min read
Updated: Mar 19, 2024

Oleh: Dr Bam Al-Haj
PENDAPAT: Kerajaan tidak seharusnya tunduk kepada kartel padi dan beras. Para pengilang, pemborong dan peruncit berkali-kali melaungkan supaya harga beras diapungkan. Apakah motif mereka?
Sebagai peniaga, sudah tentulah mereka mahukan keuntungan yang berlipat kali ganda.
Pakatan kartel - pengilang, pemborong dan peruncit ini nampaknya tidak peduli dengan rakyat. Mereka gunakan apa sahaja cara termasuk NGO tajaan mereka untuk menyuarakan kepentingan mereka.
Isu beras tempatan hilang daripada pasaran bukan masalah mereka, kerana merekalah sebenarnya yang mengatur semua ini. Sorok. Simpan. "Repackaging" dan jual dengan harga beras import. Untung besar.
Dengan itu, pembangkang akan salahkan kerajaan. Biar Kerajaan Madani ini tumbang. Kerajaan Madani ini menyusahkan mereka kerana PMX hendak menghapuskan rasuah. Rasuah adalah mainan dan makanan mereka.
Beras tempatan tiada di pasaran
Sampai sekarang saya tidak faham kenapa Ketua Pengarah Bahagian Kawalselia Padi dan Beras Negara masih dipertahankan.

Faktanya jelas. Katanya 60% beras tempatan dihasilkan setiap tahun. Tetapi kenapa beras tempatan masih tiada di pasaran?
KPKM kata beras tempatan ada, tetapi semua orang sedar bahawa beras yang dijual di pasaran kini adalah beras import dan dijual dengan harga sekitar RM40/kampit (10kg).
Jika benar ketiadaan beras tempatan hanyalah kes terpencil, bolehkah ditunjukkan di mana beras tempatan dijual? Di pasaraya dan kedai runcit mana?
Jual harga beras import
Kenapa harga beras tempatan perlu diapungkan sedangkan kerajaan telah menetapkan harga RM26/kampit bagi 10 kg? Sebab margin beras tempatan RM26/kampit itu hanya sekitar RM3/kampit. Mereka sanggup membungkusnya semula menjadi beras import, menjualnya dengan harga beras import yang untungnya melebihi RM10/kampit dan membiarkan rakyat menderita.
Kenapa semua ini dibiarkan oleh Bahagian Kawalselia Padi dan Beras Negara? Kenapa SPRM tidak bertindak menyiasat ketiadaan beras tempatan di pasaran?
PMX kena tegas dalam hal ini. Rakyat mahu penyelesaian segera dan tuntas.
Pada 20 Mac 2024 ini mesyuarat NACCOL akan bersidang untuk memutuskan harga beras.
Kerajaan perlu ambil langkah tegas menentang kartel supaya harga beras tidak lagi mahal dan berhadapan ketidakpuasan hati rakyat.
________________________________________________________________________________
Dr Bam Al-Haj merupakan penulis bebas dan ahli NeuroMarketing Strategist.
*Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan bukannya pendirian rasmi Suara Keadilan
Comments