Kerajaan Perikatan Nasional perlu lebih berintegriti dalam mengumumkan sesuatu bantuan kepada rakyat.
Menurut Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran, biar pun menteri kanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kos kuarantin golongan B40 ditanggung kerajaan namun terdapat kes golongan itu dikompaun kerana gagal membayar kos.
Dalam sidang media di Parlimen, Prabakaran mendedahkan kes yang dialami seorang pekerja Malaysia di Singapura yang dikompaun selepas pulang dan tidak mempunyai wang membayar kos kuarantin RM2,100.
"Kes yang berlaku agak pelik, Arulnachalem dari Johor Bahru pergi ke Singapura pada Julai dan balik ke Johor Bahru 24 Julai. Dia tidak lagi bekerja di Singapura kerana diberhentikan. Pergi ke Singapura tanpa kewangan dan apabila masuk ke Malaysia, pihak berkuasa minta dia bayar kos kuarantin.
"Oleh kerana tiada wang dia dibawa ke pusat kuarantin kerajaan. Tetapi di situ dia telah dikompaun oleh polis RM1000.
"Perkara ini tidak masuk akal. Seorang golongan B40 yang hilang pekerjaan, tiada duit untuk bayar kuarantin RM2,100, dia dikompaun," katanya.
Menurut Prabakaran lagi, Arulnachalem dianggap melakukan kesalahan kerana enggan membayar kos kuarantin di stesen kuarantin MPC Tampoi. Persoalannya adakah kes tersebut terpencil?
Prabakaran turut mempersoalkan bagaimanakah nasib golongan B40 yang sebelum ini telah membayar kos kuarantin RM2,100 sebelum pengumuman menteri kanan, adakah kerajaan akan membayar balik wang mereka?
"Apabila kita teliti invois dari kerajaan Malaysia (kepada Arulnachalem), beliau keluar stesen kuarantin pada 7 Ogos. Manakala tarikh kompaun 4 Ogos.
"Empat hari sebelum keluar kuarantin dia telah dikompaun RM1,000. Macam mana status Arunachalem? Apakah kerajaan akan bantu?
"Sebelum ini juga, banyak golongan B40 yang pinjam duit dari Along atau keluarga bayar caj kuarantin, adakah wang mereka akan dikembalikan?" katanya lagi.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Wilayah Persekutuan itu lagi, banyak pihak keliru dengan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung peraturan kuarantin dan bayaran yang dikenakan. Namun pihak KKM, katanya, tidak memberi penjelasan lanjut kes demi kes.
"Banyak perkara yang saya keliru dengan garis panduan KKM. Saya juga terima kes di mana ibu atau bapa orang yang dikuarantin meninggal dunia. Contoh, Ali masuk ke pusat kuarantin. Bapa dia meninggal, pihak berkuasa tidak membenarkan orang itu melawat bapa dia sebab dia tidak bayar caj kuarantin.
"Adakah ini satu perkara yang baik kerana hak mereka telah dirampas. Walaupun ini zaman Covid dan orang itu boleh sebar virus tetapi ada SOP di bawah KKM, guna van mereka, pakai PPE.
"Saya pernah lihat orang meninggal, anak dia dikuarantin dan pihak hospital bawa anak dia (melawat) pakai PPE dan sebagainya.
"Tetapi di sini, masalahnya mereka tidak dibenar melawat jika tidak membayar caj kuarantin. Ini satu ugutan," kata Prabakaran.
Dalam sidang media sama beliau juga membawa isu seorang anak berusia 5 tahun pergi ke Singapura sebelum Perintah Kawalan Pergerakan, kemudian balik ke Malaysia dan dikenakan kuarantin di hotel secara percuma.
Oleh kerana anak tersebut masih kecil maka ibu perlu menemaninya. Namun ibu anak itu dikenakan bayaran kuarantin RM2,100.
Kes-kes seperti itu, kata Praba, tidak mempunyai penjelasan sewajarnya.
Comments