Perluas literasi AI, transformasi media digital kewartawanan
- Suara Keadilan
- 28 minutes ago
- 2 min read

Kerajaan menyambut baik program memperkasakan penguasaan pengamal media tempatan berkaitan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam bidang kewartawanan yang dilaksanakan Google dan Institut Akhbar Malaysia (MPI).
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, program AI Literacy for Journalists merupakan antara permintaan pihaknya kepada Google untuk meningkatkan pemahaman wartawan mengenai penggunaan AI secara beretika dalam pemberitaan.
"Projek ini satu daripada permintaan saya kepada pihak Google memandangkan kita banyak bercakap tentang AI pada hari ini, tetapi seperti yang kita lihat baru-baru ini bila AI digunakan kadang-kadang kita perlu faham apakah kebaikan dan juga kelemahan pada AI itu sendiri.
"Kita tidak boleh terbawa-bawa dan terlalu mudah menyerahkan tugas kewartawanan kepada AI, namun saya percaya kita boleh menggunakan AI sebagai pena dan buku untuk wartawan pada masa hadapan," katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Projek Sigma di Kuala Lumpur hari ini.
Project Sigma yang dilancarkan pada tahun lalu oleh Google dengan kerjasama Kementerian Komunikasi bertujuan menyokong bilik berita dan pencipta kandungan di Malaysia dalam meneroka alat AI dan format penceritaan digital yang sesuai dengan tabiat penggunaan media yang semakin berubah.
Projek Sigma yang berlangsung selama 10 minggu melibatkan organisasi media pelbagai bahasa iaitu REV Media (Media Prima), Astro Awani, Sin Chew Daily, Malaysiakini, FT Strategies, News Partnership APAC at Google dan News Partnership Southeast Asia at Google.
Dalam pada itu Fahmi berkata Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) bakal main peranan penting dalam memperluas literasi AI dan transformasi media digital di luar bilik berita
Beliau berkata institusi latihan penyiaran di bawah kementerian diminta mengkaji semula dan menyesuaikan modul latihan AI agar boleh diguna pakai secara lebih meluas merentasi pelbagai sektor.
Fahmi berkata pihaknya berharap program literasi AI dalam kalangan wartawan dapat membantu mereka mengasah bakat, meningkatkan profesionalisme serta mempersiapkan diri dalam menghadapi cabaran landskap media masa hadapan yang berkembang dengan teknologi canggih.
"Walaupun fokus Projek Sigma adalah organisasi media, mana-mana jabatan atau agensi yang mempunyai khalayak juga perlu faham tentang kehendak mereka yang turut berubah. Maka, wajar kita pertimbang format-format yang lebih sesuai," ujarnya.