Perluas BUDI95 kepada pemilik bot, kerajaan dengar suara rakyat pedalaman
- Suara Keadilan

- Oct 7
- 1 min read

Oleh: Helmi Foad
Langkah kerajaan memperluaskan manfaat subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada pemilik bot enjin sangkut dan pemandu e-hailing disambut baik penduduk di pedalaman.
Senator Abun Sui Anyit (gambar) berkata, keputusan itu membuktikan bahawa kerajaan sentiasa mendengar suara rakyat dan berusaha memperbaiki sistem sedia ada agar lebih inklusif dan adil untuk semua.
"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan MADANI, khususnya Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas keprihatinan mendengar keluhan rakyat pedalaman yang menggunakan enjin sangkut pada bot panjang sebagai pengangkutan utama," katanya dalam kenyataan.
Abun berkata, sesuatu dasar baharu memang tidak dapat lari daripada kekurangan pada peringkat awal namun kerajaan telah menunjukkan komitmen tinggi membuat penambahbaikan kaedah pelaksanaannya.
Katanya, langkah itu bagi memastikan semua lapisan masyarakat termasuk rakyat di pedalaman turut menikmati subsidi petrol pada kadar harga RM1.99 seliter.
"Saya menyeru agar kerjasama semua pihak sama ada agensi kerajaan, wakil rakyat, pemimpin masyarakat, mahupun rakyat sendiri terus diperkukuhkan.
"Semoga pada masa hadapan tiada lagi golongan yang tercicir, asalkan kita semua bekerjasama menyalurkan maklumat tepat kepada pihak kerajaan," ujarnya lagi.
Subsidi petrol amat diperlukan pengusaha bot enjin sangkut terutama di Sarawak dan kawasan pedalaman lain yang bergantung kepada pengangkutan air di sepanjang sungai sebagai cara perhubungan utama masyarakat tempatan.









Comments