Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri mengalu alukan syarikat di kawasan beliau juga seluruh negara melakukan jualan amal untuk membantu warga Palestin yang diganasi oleh Israel.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan jualan amal Syarikat Makanan Kucing Misha di kawasannya yang mengumpul RM20,000 untuk disumbangkan kepada wakil Palestin dan pertubuhan amal baru baru ini.
"Hari ini Misha, sebuah syarikat yang membuat makanan kucing telah mengadakan jualan amal kepada pelanggannya.
"Pelbagai promosi dibuat. Jualan amal ini adalah untuk mengutip sumbangan dan diserahkan kepada saudara kita yang tertindas di Gaza.
"Hasil kutipan berjaya mencapai sasaran RM20,000. Di mana RM10,000 disampaikan oleh Misha kepada kedutaan Palestin di Malaysia dan RM10,000 lagi disampaikan kepada NGO MyCare Malaysia.
"Hari ini telah disampaikan kepada kedua dua wakil, dan diharapkan sumbangan hari ini akan dapat membantu dan meringankan beban yang ditanggung oleh saudara kita di Palestin," katanya.
Dalam pada itu, Azmizam juga mengucapkan tahniah kepada syarikat Misha kerana merupakan syarikat bukan Islam yang menderma untuk Palestin.
Katanya, penderitaan rakyat Palestin bukanlah isu agama dan perlu dibantu oleh semua rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian.
"Ini contoh syarikat Misha yang beroperasi di DUN Pelabuhan Klang ini dan saya harap ada lagi syarikat di luar sana yang mempunyai inisiatif untuk menunjukkan solidariti kita ke atas rakyat Palestin yang melakukan jualan amal dan memberi sumbangan," katanya lagi.
Dalam majlis itu RM10,000 telah disumbangkan kepada Tabung Palestin MyCARE melalui wakilnya Puan Norlela dan RM10,000 lagi disumbangkan kepada Kedutaan Palestin yang diterima wakilnya Cik Nur Fatimah.
Kommentare