top of page

Perlombongan REE perlu dikaji terperinci, elak kemusnahan alam sekitar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 15 minutes ago
  • 2 min read

ree

Isu perlombongan nadir bumi atau rare earth elements (REE) di Malaysia perlu ditangani dengan berhati hati kerana kebanyakan deposit mineral berkenaan terletak di dalam kawasan hutan simpan.


Bagi NGO Sahabat Alam Malaysia (SAM), kegiatan perlombongan nadir bumi di kawasan hutan apatah lagi hutan simpan kekal (HSK) boleh membawa kesan buruk terhadap alam sekitar, sekali gus bercanggah dengan objektif Dasar Perhutanan Malaysia (DPM) 2021.


Menurut Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman, tindakan memansuhkan sebahagian atau keseluruhan kawasan HSK bagi tujuan perlombongan, sama ada secara konvensional atau melalui teknologi in-situ leaching (ISL), dikhuatiri akan menyebabkan kemusnahan habitat flora dan fauna serta pencemaran sumber air.


"Tindakan Kerajaan Negeri (selepas ini) memansuhkan kawasan HSK termasuk Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 dalam Rangkaian Central Forest Spine (CFS) untuk tujuan perlombongan REE adalah tidak wajar kerana dibimbangi boleh menimbulkan impak dan lebih banyak mudarat kepada alam sekitar dalam jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau menegaskan, berdasarkan Seksyen 2, Akta Perhutanan Negara 1984, sumber mineral seperti REE tidak ditafsirkan sebagai hasil hutan.


Oleh itu, katanya, sebarang cadangan untuk meminda akta berkenaan bagi mengiktiraf REE sebagai hasil hutan dianggap sebagai langkah berisiko.

Meor Razak Meor Abdul Rahman
Meor Razak Meor Abdul Rahman

"Cadangan meminda tafsiran dan mengiktiraf sumber mineral REE sebagai hasil hutan boleh membuka ruang kepada memanipulasi dan mengeksploitasi kegiatan perlombongan REE untuk tujuan pembalakan.


"Kerajaan Negeri tidak harus berkompromi membenarkan kegiatan perlombongan REE terutama di KSAS Tahap 1 dan tidak ada kaedah terbaik mengawal apa sahaja kegiatan perlombongan di KSAS," ujarnya.


Selain itu, ujar Meor Razak, teknologi ISL belum benar-benar terbukti selamat ekoran isu perubahan warna air di Sungai Perak baru-baru ini yang didakwa antaranya berpunca daripada perlombongan REE.


Beliau juga berpendapat bahawa Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) juga bukan mekanisme terbaik bagi menangani kesan perlombongan kerana laporan itu hanya bertujuan meminimumkan impak, bukan menghapuskan kemusnahan sepenuhnya.


"Realitinya sebagai contoh, langkah-langkah mitigasi dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang terkandung dalam laporan EIA tidak mampu menangani isu kemusnahan habitat flora dan fauna," jelas beliau.


Tambah beliau, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) kini berdepan kekangan sumber manusia untuk memantau dengan berkesan aktiviti perlombongan termasuk REE.


Sehubungan itu, SAM menggesa agar Kerajaan Negeri tidak berkompromi dengan sebarang bentuk perlombongan REE di kawasan sensitif alam sekitar, dan mengekalkan HSK sebagai benteng utama kelestarian ekologi negara.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page