Perlekehkan institusi Diraja: Undang-undang negara tidak boleh dipermainkan
- Suara Keadilan
- Jul 8
- 1 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa konsisten mempertahankan institusi Diraja di negara ini.
Sebagai institusi penting dalam pembentukan negara, MCMC dan PDRM tidak mahu melihat Institusi Diraja diperlekehkan oleh mana-mana pihak.
Tindakan pantas pihak berkuasa
Terbaru, tindakan pantas pihak berkuasa mendakwa seorang suri rumah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membuat hantaran jelik menghina KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah bukti yang menunjukkan komitmen tegas negara dalam melindungi Institusi Diraja daripada penghinaan dan fitnah di alam maya.

Kes itu mencerminkan prinsip undang-undang bahawa kebebasan bersuara bukan lesen untuk menyebarkan kebencian atau memperlekeh simbol kedaulatan negara.
Di sebalik kemudahan teknologi dan akses tanpa sempadan di media sosial, rakyat perlu sentiasa sedar bahawa setiap kebebasan ada hadnya, bahkan akan berdepan implikasi undang-undang jika had itu dilanggar.
Bahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bersama polis akan terus memperkukuh pemantauan serta mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan platform digital untuk mencetuskan kebencian atau menyebarkan kandungan jelik yang boleh menggugat keharmonian negara.
Semua pihak hormati undang undang
Kes-kes yang dibawa ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman juga perlu menjadi pengajaran kepada masyarakat bahawa sebagai pengguna media sosial, mereka ada tanggungjawab bersama untuk memastikan ruang digital kekal selamat, beretika dan menghormati undang-undang serta nilai-nilai kenegaraan.
Hanya dengan semua pihak menghormati undang-undang dan kedaulatan Institusi Diraja sahajalah yang boleh menjamin keharmonian dalam masyarakat dapat dikekalkan.
Comments