Perlekeh usaha PM selesai konflik, semai budaya politik kebencian - AMK Santubong
- Suara Keadilan

- Jul 30
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari melalui kapsyen karikatur kambing dan biri-biri berebut pisang dengan seekor monyet, menggambarkan betapa sempitnya pemikiran politik pembangkang yang lebih gemar menyindir berbanding menyumbang, sekali gus memalukan negara.
Demikian tempelak Ketua Angkatan Muda KEADILAN Cabang Santubong, Azlan Norita (gambar) terhadap tindakan yang dilakukan Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat.
''Kenyataan tersebut amat tidak wajar dan mencerminkan politik murahan serta kebencian melampau terhadap usaha murni membawa keamanan di rantau ini.
''Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia mempunyai tanggungjawab besar untuk memimpin dan memelihara kestabilan serantau.
''Tindakan Perdana Menteri (PM) mengusahakan pertemuan antara Kemboja dan Thailand bukan sahaja wajar, malah disambut baik oleh kedua-dua negara yang terlibat,'' katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, Azlan berkata, pihaknya mengecam keras kenyataan tidak bertanggungjawab dikeluarkan Ahmad Fadhli yang menyamakan usaha diplomatik Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan analogi sinis dan tidak beradab.
''Kami berdiri teguh menyokong kepimpinan PM Anwar dan usaha beliau sebagai negarawan yang dihormati di peringkat ASEAN dan global.
''Kami menyeru semua rakyat Malaysia menolak politik kebencian dan menyokong agenda keamanan dan kerjasama serantau,'' ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Azlan turut mempersoalkan sama ada pembangkang lebih rela menyaksikan konflik berpanjangan dan pertumpahan darah di rantau ini berbanding menyokong inisiatif damai yang sejajar dengan peranan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Terdahulu, Ahmad Fadhli menerusi hantaran di Facebooknya telah memuat naik karikatur tiga ekor binatang iaitu biri-biri dan kambing yang sedang berebut pisang dengan seekor monyet yang bertindak sebagai hakim.
Hantaran berkenaan disertakan kapsyen ‘kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang’.
Ia turut disertakan dengan laporan berita tentang konflik antara Thailand dan Kemboja.
Selepas menerima kecaman warga maya, hantaran itu dilihat sudah dipadam oleh Ahmad Fadhli.









Comments