top of page

Perlekeh turun RON95: MB Perlis gagal fahami denyut nadi rakyat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 25
  • 2 min read

ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Kenyataan sinis Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berhubung pengumuman penurunan harga RON95 oleh Perdana Menteri kelmarin disifatkan sebagai tidak wajar dan mendukacitakan.


Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Gan Ay Ling (gambar) menegaskan, sindiran Mohd Shukri bukan sahaja memperlekehkan inisiatif Kerajaan Perpaduan, malah menunjukkan kegagalan Mohd Shukri memahami denyut nadi rakyat termasuk rakyat negeri Perlis sendiri.


"Mohd Shukri seolah-olah lupa komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan Perlis, walaupun ditadbir pembangkang, tidak dipinggirkan daripada arus pembangunan negara.


"Menteri Besar sepatutnya tidak terus bermain politik dengan retorik kosong dan sindiran yang tidak membina. Jadilah rakan strategik kepada Kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat Perlis," tegas ADUN Indera Kayangan itu dalam satu kenyataan.


Sebelum ini, Mohd Shukri dilaporkan menyindir penurunan harga petrol RON95 sebanyak enam sen sebagai tidaklah terlalu mengejutkan, pengumuman itu katanya hanya dianggap menarik sekiranya kerajaan menurunkan harganya sebanyak 60 sen.

"Kenyataan itu sangat tidak bertanggungjawab. Di Perlis majoriti rakyat bergantung kepada kenderaan sendiri dan penurunan harga petrol memberi kelegaan besar kepada golongan B40, pekerja logistik dan penduduk luar bandar," kata Ay Ling.


Beliau turut menarik perhatian Mohd Shukri terhadap usaha Perdana Menteri membantu Perlis dengan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan peruntukan pembangunan kepada negeri itu sejak dua tahun lalu.


"Setelah lebih sedekad tertangguh, projek Sekolah Sukan Perlis akhirnya dimulakan semula hasil keprihatinan Perdana Menteri. Ini langkah besar dalam memperkukuh ekosistem pembangunan belia negeri ini.


"Peruntukan pembangunan Persekutuan juga telah meningkat hampir 65% dalam tempoh dua tahun – daripada RM391.91 juta pada 2022 kepada RM596.82 juta pada 2023, dan seterusnya RM645.58 juta tahun ini," katanya.


Sehubungan itu, beliau mempersoalkan peranan Mohd Shukri sendiri untuk merancakkan ekonomi negeri, menarik pelaburan serta mencipta peluang pekerjaan?


"Soalnya sekarang, apakah inisiatif dan pelan jangka panjang Kerajaan Negeri pimpinan Perikatan Nasional ini. Rakyat Perlis menuntut jawapan, bukan alasan," tegas Bendahari Wanita KEADILAN Pusat itu lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page