Perlekeh maruah gelandangan: SKMM rakam keterangan pempengaruh
- Suara Keadilan

- Aug 6
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah merakam keterangan tiga individu dipercayai pempengaruh media sosial yang didakwa memperlekah maruah seorang gelandangan menerusi rakaman video yang tular baru-baru ini.
Suruhanjaya itu menerusi satu kenyataan memaklumkan, proses mengambil keterangan dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.
"Kandungan video itu dipercayai bersifat jelik melampau dan menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan warganet.
"SKMM telah menyita tiga telefon bimbit dan tiga kad SIM bagi siasatan lanjut.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," kata kenyataan itu.
Sebelum ini, tular video pendek berdurasi kurang seminit memaparkan tindakan sekumpulan pempengaruh memberikan sisa makanan kepada seorang gelandangan di kaki lima, sebelum kemudiannya menyerahkan set makanan lengkap.
Video tersebut mengundang kecaman ramai kerana dianggap dengan sengaja menjadikan penderitaan golongan terpinggir sebagai bahan hiburan.
Sehubungan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang tampil mendesak SKMM menyiasat perkara itu secara menyeluruh dan segera mengambil tindakan menurunkan kandungan yang mengaibkan tersebut









Comments