Perlekeh harga petrol turun, Pas jauh dari realiti rakyat
- Suara Keadilan

- Sep 29, 2025
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Kenyataan seorang Ahli Parlimen Pas yang memperlekehkan penurunan harga RON95 sebanyak enam sen menunjukkan parti itu semakin jauh dengan realiti kehidupan rakyat, demikian menurut Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar).
Beliau berkata, rakyat sangat kecewa dengan kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Dr Halimah Ali yang memperlekeh penurunan harga RON95 atas alasan ia tidak memberi kesan besar kepada rakyat.
"Kenyataan ini membuktikan pemikiran Pas terlalu jumud dan jauh daripada denyut nadi rakyat terbanyak.
"Bagi rakyat biasa yang setiap hari mengisi minyak untuk motosikal atau kereta kecil, setiap sen yang dijimatkan amat bermakna," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata realiti hidup rakyat tidak boleh ditimbang dengan kaca mata politik sempit Pas.
Walaupun penurunan harga minyak kelihatan kecil, katanya, ia memberi impak positif kepada kehidupan rakyat.
"Pas sengaja menutup mata terhadap hakikat ini kerana mereka ketandusan idea.
"Bagi rakyat, penjimatan walau sedikit itu nikmat. Bagi Pas, nikmat mereka hanya bila rakyat susah," kata beliau.
Menurut Mahfuz, penurunan harga itu adalah sebahagian daripada strategi menyeluruh kerajaan Madani dalam menangani kos sara hidup, meliputi subsidi bersasar, bantuan tunai, kawalan harga barang asas dan agenda reformasi gaji.
Beliau turut mengingatkan bahawa semasa Pas berada dalam kerajaan dahulu, harga minyak turun naik tanpa kawalan jelas sehingga rakyat terbeban, namun parti itu hanya berdiam diri.
"Enam sen kecil tapi cukup buat Pas hilang akal. Itulah tanda otak mereka lebih ringan dari duit syiling," sindirnya.
Mahfuz menegaskan rakyat masih bersyukur dengan langkah Kerajaan Madani yang konsisten mendengar rintihan rakyat dan mengambil pendekatan berperingkat bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela.
"Bagi Pas, enam sen itu kecil. Bagi rakyat, enam sen itu rezeki. Itulah beza pemimpin yang dekat dengan rakyat berbanding parti yang hanya hidup dengan hasutan," katanya lagi.









Comments