Kerajaan bertindak tegas memperkenalkan peraturan baharu termasuk undang-undang keselamatan siber bagi mengawal perilaku negatif pengguna dalam talian dalam usaha mengekang jenayah penipuan dan buli siber, demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata langkah itu tidak bermakna kerajaan mengekang kebebasan kerana Malaysia adalah negara demokratik yang membenarkan orang ramai menyuarakan pandangan sama ada untuk bersetuju, menegur atau menentang
"Ada bezanya (kebebasan bersuara dan keselamatan siber), digital, siber dan media sosial kita digunakan umpamanya untuk mendera sehingga ada yang membunuh diri. Ada yang menyebabkan salah guna daripada segi memperalatkan anak kecil untuk urusan dagang seks.
"Ada juga penipuan yang sudah mencecah (kerugian) lebih RM2.5 bilion. Banyak orang ditipu, menggunakan kemudahan media sosial dan bila kita kata harus sekat, mereka kata jangan sekat kebebasan.
"Apakah kebebasan untuk menipu, mencuri, mendera orang sehingga ada orang membunuh diri harus dibiarkan? Ini hal yang harus diambil kira oleh rakyat, sebab soal keselamatan diri mereka mesti diberikan keutamaan," katanya dipetik ketika berucap merasmikan Bulan Keselamatan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan langkah tersebut dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun depan selepas kerangka kawal selia baharu akan diperkenal pada 1 Ogos.
Satu perundangan baharu juga akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober depan bertujuan meningkatkan tahap keselamatan digital merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan suis pemati secara terperinci serta jelas.
Pada Mac lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Siber 2024 yang bertujuan meningkatkan keselamatan siber negara menerusi pematuhan terhadap langkah, standard dan proses tertentu dalam pengurusan ancaman keselamatan siber.
Jelas PM, harus ada pendekatan yang lebih canggih dalam menguatkuasakan undang undang membabitkan keselamatan siber.
"Ada jenayah berlaku dalam keadaan biasa. Ada yang melibatkan rangkaian jenayah antarabangsa. Jadi, kita harus lebih canggih dalam pendekatan kita.
"Ada negara yang meletakkan keselamatan siber sebagai keutamaan. Hampir semua negara meletakkan lima teratas atau 10 teratas.
"Oleh itu dalam kerangka ini, kita berikan latihan dan persiapan awal (kepada pasukan keselamatan) supaya sekuriti siber kita berada dalam keadaan baik dan ada jaringan kerjasama dengan negara sahabat untuk meningkatkan keupayaan," katanya.
Comentários