Perkukuh sokongan emosi pelajar, Selangor laksana program rintis PeerZ
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Selangor menyatakan komitmen untuk terus menjadikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan pelajar sebagai keutamaan utama pentadbiran negeri.
Exco Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin (gambar) berkata, Kerajaan Negeri akan melaksanakan program rintis intervensi awal di dua sekolah menengah di Bandar Utama bagi menyediakan sokongan emosi berasaskan rakan sebaya kepada pelajar.
Inisiatif dikenali sebagai PeerZ itu bertujuan melengkapi Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) sedia ada yang dikendalikan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).
"Kebimbangan berkaitan keselamatan sekolah serta kekurangan sokongan kaunseling kepada pelajar telah dibangkitkan dalam satu pertemuan bersama wakil ibu bapa susulan insiden tragis berkenaan.,
"PeerZ bertujuan menyediakan platform kepada pelajar untuk berkongsi pengalaman, cabaran serta tekanan emosi bersama rakan sebaya dalam persekitaran yang lebih selamat dan kondusif.
"Melalui pendekatan ini, pelajar yang memerlukan sokongan awal akan menerima bantuan emosi dan bimbingan daripada rakan sebaya sebelum dirujuk kepada pegawai kaunseling sekolah atau profesional kesihatan mental sekiranya intervensi lanjut diperlukan," katanya dipetik Malay Mail.
Jamaliah sementara itu menjelaskan, inisiatif itu akan memberi tumpuan kepada pendidikan kesedaran, sokongan rakan sebaya dan pembangunan kemahiran emosi sebagai sebahagian usaha membentuk persekitaran pembelajaran yang lebih sihat dan berdaya tahan.
Program rintis berkenaan dijangka dilaksanakan pada tahun ini, namun tiada garis masa khusus diumumkan setakat ini.









Comments