Perkukuh sistem perlindungan sosial, penuhi keperluan masyarakat menua
- Suara Keadilan
- Jun 18
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negara ini perlu mengukuhkan sistem perlindungan sosialnya bagi memenuhi keperluan kehidupan yang lebih panjang dan rumit ketika purata hayat rakyat negara ini mencecah 80 tahun.
Perdana Menteri berkata langkah menaikkan gaji sahaja masih tidak mencukupi sebaliknya memerlukan kepada simpanan dan pendapatan persaraan yang mampan.
"Hidup yang lebih lama membawa beban kewangan tambahan kepada individu, keluarga dan kerajaan.
"Cabaran ini perlu ditangani dengan memastikan pekerjaan dibayar secara adil. Hidup panjang mesti disertai dengan gaji yang bermaruah dan agihan kekayaan negara yang adil.
"Gaji adil sahaja tidak mencukupi. Kita mesti memperkukuh sistem perlindungan sosial untuk berdepan kehidupan yang lebih panjang dan rumit," kata beliau pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 di Kuala Lumpur, semalam.
Persidangan anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Kewangan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu bertema “Hidup Sehingga Seratus [Tahun]: Adakah Kita Bersedia?”
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata usaha KWSP meneroka pendekatan baharu untuk meningkatkan kecukupan persaraan merupakan satu langkah yang perlu dihargai.
Malah katanya peluasan liputan KWSP kepada pekerja migran merupakan juga langkah penting dalam memperkukuh perlindungan sosial.
"Apabila usia hidup semakin panjang, tumpuan perlu beralih daripada simpanan sekali gus kepada pendapatan persaraan yang mampan.
"Dalam visi kerajaan, tiada rakyat Malaysia harus menua dalam ketakutan terhadap kemiskinan, pengabaian atau kehilangan makna hidup," ujarnya.
Memetik laporan United Nations World Population Prospects, Perdana Menteri berkata Malaysia hanya mencatatkan kurang daripada 10 warga emas berusia 100 tahun ke atas pada awal 1970-an namun pada hari ini, jumlah itu melebihi 1,000 orang dan ia dijangka terus meningkat.
Justeru itu kata beliau dasar awam perlu sedar bahawa umur panjang adalah satu transformasi masyarakat, bukan sekadar fenomena sementara.
"Kita perlu bertanya: adakah institusi, dasar dan cara pemikiran kita bersedia untuk perubahan ini?" soal beliau.
Anwar berkata sekiranya Malaysia ingin menjadi peneraju perubahan kepada fenomena penuaan, negara ini perlu melabur dalam sistem kesihatan, penjagaan sosial, perumahan, instrumen kewangan dan industri yang menyokong masyarakat yang berumur.
Jelasnya perkara itu berlaku ketika ekonomi umur panjang dunia dijangka melebihi AS$65 trilion menjelang 2030 menurut Global Longevity Economy Outlook.
"Hari ini, purata jangka hayat rakyat Malaysia ialah 76 tahun, namun hanya 67 tahun dijangka hidup dalam keadaan sihat," katanya.
"Ini adalah satu amaran untuk kita memberikan penekanan yang lebih besar terhadap pelaburan dalam kesihatan, khususnya penjagaan pencegahan, pendidikan kesihatan awam dan sokongan berasaskan komuniti."
Dalam hal ini Anwar berkata kerajaan telah mengambil langkah berani melalui pembentangan Kertas Putih Kesihatan yang berasaskan pencegahan, akses saksama dan pembaharuan menyeluruh kekal menjadi kompas kita.
Kata beliau Belanjawan 2025 mencerminkan keutamaan ini dengan peruntukan RM45.3 bilion kepada sektor kesihatan — peningkatan 9.8% berbanding tahun lalu — sebagai asas ke arah Malaysia yang lebih sihat dan berdaya tahan.
"Antara inisiatif penting ialah arahan kepada fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti supaya memaparkan harga ubat — satu dasar yang menggalakkan persaingan sihat dan mengurangkan perbelanjaan langsung oleh rakyat.
"Ini melindungi kewangan isi rumah dan membantu rakyat Malaysia mengurus penyakit kronik serta menua dengan maruah dan kebebasan," katanya.
Comments