top of page

Perkukuh kebajikan rakyat, petunjuk awal ekonomi 2026 kekal positif

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 days ago
  • 2 min read

Oleh: Helmi Foad


Kerajaan MADANI memulakan tahun 2026 dengan penekanan jelas terhadap kebajikan rakyat di tengah petunjuk awal ekonomi yang memberangsangkan termasuk kadar pengangguran terendah dalam tempoh 11 tahun dan pertumbuhan ekonomi mengatasi unjuran rasmi.


Dalam taklimat harian yang disampaikan Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata seiring pembukaan sesi persekolahan, Kerajaan MADANI telah mula menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 kepada setiap murid secara berperingkat bermula 11 Januari 2026.


"Alhamdulillah, inisiatif ini memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta murid, termasuk pelajar Tingkatan Enam, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM800 juta," katanya.


Beliau berkata, bantuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa sistem pendidikan negara serta meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga.


Dalam perkembangan ekonomi, Tunku Nashrul berkata kadar pengangguran negara kini berada pada paras 2.9 peratus, terendah dalam tempoh 11 tahun, sekali gus memberi isyarat positif terhadap pasaran pekerjaan dan keupayaan ekonomi negara menyokong peluang pendapatan rakyat.


Selain itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan anggaran awalan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Suku Keempat 2025 berkembang sebanyak 5.7 peratus, menjadikan pertumbuhan keseluruhan 2025 sekitar 4.9 peratus, mengatasi unjuran rasmi kerajaan antara 4.0 hingga 4.8 peratus.


Menurut beliau, pencapaian tersebut dicapai walaupun negara berdepan persekitaran global yang mencabar, termasuk tekanan luaran terhadap perdagangan antarabangsa, hasil daripada langkah penyesuaian dasar serta pembaharuan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan.


"Pendekatan bantuan dan subsidi yang lebih bersasar terus memberi sokongan kepada kuasa beli golongan yang memerlukan di samping memastikan kestabilan ekonomi domestik terus terpelihara," katanya.


Dalam usaha mengurangkan kos sara hidup, Kerajaan MADANI turut meneruskan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi tahun 2026 dengan peruntukan keseluruhan RM15 bilion, tertinggi setakat ini untuk manfaat sekitar 9 juta penerima.


Bagi SARA Bulanan 2026, penyaluran telah bermula pada 9 Januari 2026 melibatkan 5 juta penerima, terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan.


Mulai 16 Januari 2026, penyaluran diteruskan kepada 3.1 juta penerima kategori bujang, menjadikan keseluruhan 8.1 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM8 bilion.


Pelaksanaan SARA pada tahun lalu mencatatkan kadar perbelanjaan hampir 100 peratus, termasuk di kawasan luar bandar sekali gus membuktikan keberkesanan mekanisme bantuan tersebut.


Kerajaan turut menyasarkan peningkatan jumlah kedai runcit kecil yang terlibat dalam program ini kepada 10,000 buah menjelang akhir 2026 bagi merangsang ekonomi setempat.


Sementara itu, STR Fasa 1 2026 akan mula disalurkan pada 20 Januari ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion dan memberi manfaat kepada 5 juta penerima terdiri daripada isi rumah dan warga emas.


Tunku Nashrul menegaskan segala dasar dan inisiatif kerajaan akan terus berpaksikan kepentingan rakyat.


"Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap dasar dan peruntukan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan yang memerlukan selari dengan prinsip tadbir urus yang berintegriti, berhemah dan berfokuskan kesejahteraan rakyat," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page