Perkhidmatan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) perlu lebih cekap bagi mengelakkan pembaziran sumber.
Ahli Parlimen Sim Tze Tzin (PH - Bayan Baru) berkata, FAMA seharusnya tidak mewujudkan terlalu banyak outlet menjual barangan pertanian dengan pelbagai nama yang juga melibatkan banyak peruntukan.
"FAMA terlalu banyak perkhidmatan bertindih contohnya Agrobazar K'Shop, Angrobazar R&R, Agrobazar Rakyat, semua sama. Tak perlu ada pelbagai jenama dan wujudkan terlalu banyak banyak pegawai. Akhirnya menyebabkan pembaziran.
"Peruntukan kerajaan terhad, kerana apabila kita wujudkan banyak jabatan. Kalau tengok Tesco dahulu, ada Tesco dan Tesco Extra. Dua sahaja.
"Bagi Agrobazar Online pula kalau kita nak bersaing dengan Shopee atau Lazada susah. Mereka belanja berbilion ringgit, kita peruntukkan RM2 juta. Macam mana nak bersaing? Penjual saya check tak ada jualan dalam setahun," katanya ketika membahaskan pindaan Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 1965 di Dewan Rakyat.
Selain itu, Sim juga berkata FAMA mempunyai bidang kuasa luas termasuk penguatkuasaan, bukan sebagaimana difahami rakyat bahawa agensi itu berperanan sebagai 'orang tengah' antara pengeluar dan peruncit.
Justeru katanya, Fama perlu lebih proaktif memainkan peranannya.
"FAMA mempunyai fungsi dan kuasa yang meluas kerana FAMA ini pihak berkuasa pemasaran pertanian persekutaun.
"Maka dia mempunyai kuasa meluas dan juga penguatkuasaan untuk meningkatkan standard pertanian. FAMA perlu menjalankan tugas penguatkuasaan lebih baik.
"Di mana ada pelabelan, di mana pengguna beli di pasarkah, di pasar tani, di supermarket. Lebel ini penting kerana selalunya kita tidak tahu produk dari mana, selamatkah, adakah kita ditipu, dia jual gred B tetapi jual pada harga gred A.
"Untuk maju ke depan FAMA perlu memikul tanggungjawab yang penting," katanya.
Sim bagaimanapun menyokong pindaan undang undang yang dicadangkan tetapi beliau menegaskan Fama perlulah memperluaskan fungsinya dalam pertanian, terutama sektor penternakan selepas Majuternak dibubarkan.
Comments