Perketat mekanisme halang akses kanak-kanak bawah 13 Tahun ke TikTok – Fahmi
- Suara Keadilan
- 35 minutes ago
- 3 min read

Satu mekanisme yang lebih ketat dan berkesan perlu dilaksanakan bagi menghalang kanak-kanak di bawah umur 13 tahun daripada mengakses TikTok bagi melindungi keselamatan golongan tersebut daripada terdedah kepada kandungan tidak sesuai,
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pihak kementerian mendapati terdapat pelanggaran terhadap garis panduan komuniti platform seperti TikTok terutamanya melibatkan pengguna bawah umur yang masih aktif menggunakan aplikasi tersebut.
"Hasil pemeriksaan menunjukkan sistem sedia ada gagal menyekat pengguna bawah umur dan ramai dalam kalangan mereka terlibat secara aktif dengan kandungan yang melanggar garis panduan komuniti TikTok itu sendiri.
"Semasa lawatan saya ke beberapa sekolah termasuk sekolah rendah, saya mendapati murid seawal Tahun Satu sudah memiliki akaun TikTok.
"Sedangkan TikTok dengan jelas menyatakan bahawa mereka yang berumur bawah 13 tahun tidak dibenarkan membuka akaun," katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil TikTok, polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Peguam Negara di Bukit Aman hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar.
Pertemuan tersebut turut diadakan susulan kerjasama TikTok dengan pihak polis dalam beberapa kes penyebaran berita palsu termasuk satu video tular baru-baru ini yang melibatkan individu menyamar sebagai pakar bedah dalam kes Zara Qairina Mahathir.
Pihak berkuasa juga bimbang dengan peningkatan kandungan berunsur pedofilia yang dikesan dalam Op Pedo termasuk penglibatan kumpulan dalam talian seperti "Geng Budak Sekolah" yang beroperasi melalui WhatsApp dan Facebook.
Fahmi berkata TikTok perlu segera memuktamadkan satu kaedah efektif untuk mengesahkan umur pengguna termasuk menggunakan teknologi Know Your Customer secara elektronik (e-KYC).
Antara cadangan lain termasuklah menyekat fungsi tertentu seperti ruangan komen dan perkongsian video sehingga proses pengesahan identiti diselesaikan, ujarnya.
Negara seperti Singapura, Australia dan China telah mula melaksanakan sistem sebegini, di mana sesetengah fungsi akan disekat sekiranya proses pengesahan umur tidak dilakukan, kata Fahmi.
"Kita beri masa kepada TikTok untuk meneliti dan melaksanakan tindakan sewajarnya. Kita dapati masih ada platform yang tidak mengambil serius isu-isu keselamatan ini.
"Dialog seperti ini akan diteruskan, dan kita akan menegaskan bahawa undang-undang Malaysia tetap terpakai kepada semua platform. Setiap platform akan dipanggil," tegas beliau.
Kementerian Komunikasi melahirkan rasa tidak berpuas hati terhadap pengurusan TikTok yang dianggap 'culas' dan lambat dalam mengambil tindakan berkaitan kandungan menyalahi undang-undang negara.
Meskipun pengendali platform itu telah menurunkan sejumlah 76,002 kandungan yang bertentangan dengan garis panduan mereka sejak Januari lalu, namun 10,730 kandungan lagi yang diminta untuk diturunkan oleh pihak kementerian gagal dipatuhi.
Menterinya Datuk Fahmi Fadzil berkata pihak TikTok masih gagal menangani isu terutamanya masalah penipuan dan buli siber.
"Isu yang kami bangkitkan berkenaan dengan aspek keselamatan dalam talian, saya meminta supaya pasukan TikTok, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneruskan perbincangan, meletakkan beberapa tempoh masa dan tindakan yang perlu mereka lakukan.
"Saya secara umumnya sangat tidak berpuas hati dengan sikap TikTok yang tidak serius dalam mengambil beberapa tindakan untuk mengatasi masalah tertentu yang telah kami bangkitkan sebelum ini," kata beliau dalam sidang media selepas membawa pengurusan TikTok bertemu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman hari ini.
Fahmi berkata TikTok sebelum ini mahu menambah jumlah moderator bagi kandungan termasuk Live susulan kes buli siber terhadap mendiang Rajeswary Appahu atau 'Esha' namun gagal menyatakan jumlahnya hingga kini.
Jelasnya tindakan menurunkan sebahagian kandungan dilakukan oleh pengendali platform sendiri berdasarkan garis panduan mereka tetapkan.
"Walaupun MCMC meminta platform untuk menurunkan sesebuah kandungan, namun ia (dilakukan) berdasarkan garis panduan komuniti platform tersebut.
"Jika mereka berpendapat sesuatu kandungan itu tidak melanggar garis panduan komuniti, ia tidak akan diturunkan," jelas beliau.
Katanya pihak PDRM memaklumkan terdapat sejumlah kertas siasatan dibuka membabitkan platform TikTok.
"Pihak TikTok sangat culas, sangat lewat memberikan maklumat untuk mengatasi masalah penipuan bila ia berlaku.
"Jadi kita serahkan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) serta MCMC bagi meletakkan perkara untuk diutamakan pihak TikTok supaya kita dapat segera selesaikan masalah ini," katanya.
Bagaimanapun, jelas Fahmi setakat ini kerajaan tidak bercadang mengambil tindakan sekatan ke atas platform tersebut memandangkan ia banyak memberi manfaat untuk rakyat menambah pendapatan.
"Isu sebenar yang perlu diberi perhatian adalah masalah penipuan dan buli siber serta pematuhan pihak TikTok kepada undang-undang negara," tegasnya.